Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengawal keselamatan, penjaga stor didakwa miliki item LTTE
Diterbitkan:  Oct 29, 2019 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Seorang pengawal keselamatan dan penjaga stor masing-masing hari ini didakwa dua mahkamah sesyen di sini atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh pengawal keselamatan, M Pumugan, 29, yang memakai t-shirt berwarna biru hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim, Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan pertama lelaki itu didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di perkarangan parkir hadapan Pejabat NSE Lorry Transport Sdn Bhd Lorong Industri Ringan, Permatang Tinggi daerah Seberang Perai Tengah di Butterwort pada pukul 3.16 petang , 12 Okt lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Pumugan didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Juru, Bukit Mertajam di Butterwort pada pukul 4.15 petang, 12 Okt lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Yusaini Amer Abdul Karem (foto, atas) tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana ditahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan tidak dibenarkan diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam Dr N Ahilan memohon jaminan dibenarkan ke atas anak guamnya atas alasan tiada rujukan SOSMA dalam pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

"Selain itu tertuduh menghidap penyakit sawan dan memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi. Penyakit sawan ini boleh menyerang tiba-tiba. Semasa dalam tahanan tertuduh pernah diserang sawan dan tidak diberikan rawatan walaupun telah dimaklumkan kepada pegawai penyiasat. Maka saya menyeru mahkamah membenarkan anak guam saya diberikan jaminan," katanya

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Dis untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang penjaga stor S Thanagaraj, 26, turut didakwa atas dua pertuduhan sama dan hanya menganggguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia ditahan di bawah SOSMA dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama Thanagaraj didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam telefon bimbit di Sky Thommas Food Industries Sdn Bhd No 1066, Jalan Perindustrian Bukit Minyak 2, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di Butterworth pada pukul 10 pagi, 12 Okt lepas.

Bagi pertuduhan kedua lelaki itu, yang turut diwakili peguam Ahilan, didakwa melakukan perbuatan sama di No 7, Lorong Sejahtera 3, Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah di Butterworth pada pukul 11 pagi 12 Okt lepas mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan kes bagi laporan forensik dan serahan dokumen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS