Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guru sekolah menengah didakwa milik barangan LTTE
Diterbitkan:  Oct 29, 2019 11:47 AM
Dikemaskini: 8:11 AM

Seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini kerana memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, yang juga pengajar subjek bahasa Inggeris dan fizik, didakwa melakukan kesalahan itu di No 21, Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang dalam daerah Kuala Langat pada 12 Okt lepas kira-kira pukul 2.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, dihukum penjara dengan tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item berkenaan.

Pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Peguam yang mewakili Sundram, Kirthiraj Raja Sundram menfailkan permohonan jaminan dengan alasan anak guamannya itu memerlukan rawatan lanjut kerana penyakit kencing manis.

Namun permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Azlina Rasdi kerana permohonan itu tidak tertakluk di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Saifulakmal turut menolak permohonan itu, namun memerintahkan rawatan sewajarnya diberikan kepada tertuduh.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 16 Dis ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS