Belajar di Timur Tengah bukan untuk jadi kadi, kata Kadir.
Penuntut Malaysia di negara-negara Timur Tengah diingatkan mereka dihantar belajar di ke sana bukan semata-mata untuk menjadi "kadi atau ustaz" tetapi untuk menjadi orang yang berjaya dan berfikiran terbuka.
Penuntut Malaysia di negara-negara Timur Tengah diingatkan mereka dihantar belajar di ke sana bukan semata-mata untuk menjadi "kadi atau ustaz" tetapi untuk menjadi orang yang berjaya dan berfikiran terbuka.
Wakil Khas Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, mereka harus menukar minda bahawa mereka tidak semestinya menjadi "orang agama" apabila tamat pengajian kelak.
"Mereka tidak semestinya menjadi ustaz dan kadi," katanya di Iskandariah, Mesir semalam.
Katanya mereka harus mempunyai keyakinan diri sendiri dan berfikiran terbuka untuk menjadi orang yang berjaya dalam dunia sekarang yang begitu mencabar seperti menjadi ahli korporat dan doktor.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis ramah mesra dengan kira-kira 100 penuntut Malaysia dari institusi pengajian tinggi di sekitar Iskandariah, kira-kira 250 km dari Kaherah.
Menurut laporan Bernama, turut hadir dalam majlis itu ialah Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Mesir Prof Madya Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.
Abdul Kadir berkata ijazah yang diperolehi hanya merupakan asas pelajaran dan bukannya penentu kepada karier mereka.
Mengambil contoh beliau sendiri, Abdul Kadir berkata beliau berkelulusan jurusan undang-undang tetapi hampir seluruh kariernya adalah sebagai orang politik dan memegang pelbagai jawatan penting kerajaan.
Beliau menggesa penuntut di Timur Tengah supaya bercampur dengan masyarakat tempatan supaya dapat meluaskan pengetahuan dan meningkatkan keyakinan diri sendiri daripada tinggal berpuak-puak sesama penuntut Malaysia.
Abdul Kadir berkata selain meningkatkan penguasaan bahasa Arab mereka juga harus menguasai bahasa Inggeris, bahasa antarabangsa, kerana ia dapat memberi peluang luas kepada mereka untuk meningkat maju di dalam karier.
Jelas beliau beberapa negara seperti China dan Jepun, yang terkenal sebagai amat patriotik dengan bahasa ibunda mereka, kini berlumba-lumba untuk menguasai bahasa Inggeris kerana hendak bersaing di dunia global dan bertujuan komersial.
Abdul Kadir berkata beliau gembira mendapati majoriti pelajar Malaysia di Mesir tidak berpolitik dan ini memudahkan mereka belajar dengan tekun dan menamatkan pengajian tanpa gangguan.

