Kit Siang: Dr. M patut liberalkan akhbar sebelum bersara
Terjemahan DAP mengalu-alukan pendirian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohmad yang sependapat dengannya dalam beberapa isu kebelakangan ini.
Terjemahan DAP mengalu-alukan pendirian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohmad yang sependapat dengannya dalam beberapa isu kebelakangan ini.
Antaranya isu pembatalan projek jambatan baru menggantikan Tambak Johor dan kebebasan akhbar di negara ini.
Pengerusi DAP, Lim Kit Siang gembira kerana akhirnya Dr. Mahathir bersetuju dengan cadangan partinya bahawa pungutan suara sepatutnya menjadi salah satu daripada tradisi dan budaya demokrasi negara ini.
Bagaimanapun Ketua Pembangkang itu mengingatkan, Dr. Mahathir bukanlah orang pertama atau satu-satunya pihak yang bercakap tentang demokrasi yang melibatkan suara rakyat di negara ini.
Lim mengulas cadangan Dr. Mahatahir minggu lalu supaya diadakan satu pungutan suara berhubung projek jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.
Dr. Mahathir berkata, pungutan suara patut diadakan untuk mengukur pendapat rakyat berhubung isu tersebut.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya penduduk Johor hanya menolak syarat yang dikemukakan oleh Singapura dan bukannya pembinaan jambatan tersebut.
Jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang menjadi kontroversi dalam hubungan Malaysia-Singapura itu adalah projek yang dicadangkan pada era pemerintahan Dr. Mahathir.
Dalam kenyataannya hari ini, Lim menyatakan, sepanjang 22 tahun pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri, DAP telah banyak kali meminta diadakan referendum untuk mengukur suara rakyat mengenai pelbagai isu penting, tetapi ditolak begitu sahaja oleh Dr. Mahathir.
Menurut Lim, antara isu yang sepatutnya sudah lama diadakan pungutan suara ialah cadangan mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan dan syor pindaan undang-undang anti rasuah bagi menguatkan bagi peranan Badan Pencegah Rasuah.
Kebebasan media
Lim juga membidas kenyataan Dr. Mahathir yang membandingkan kebebasan media pada eranya dengan pemerintahan sekarang.
Bekas Perdana Menteri itu di dalam kenyataannya yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina, Sinchew Daily minggu lalu mendakwa kebebasan media pada zamannya lebih liberal dengan mengambil contoh keberanian akhbar-akhbar menyiarkan laporan demonstrasi para penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kali ini saya tidak jumpapun laporan demonstrasi anti-kenaikan harga minyak dalam akhbar-akhbar tempatan. Apakah ini ketelusan dan keterbukaan yang kita heboh-hebohkan itu?" soal beliau.
Lim mengingatkan bekas Perdana Menteri itu bahawa sudah lama DAP bersuara mengenai kebebasan media di negara ini malah ia merupakan salah satu daripada perjuangan utama DAP sepanjang 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir dan 30 bulan pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Sekarang Dr. Mahathir mengakui kebenaran kritikan kami tentang kekurangan kebebasan akhbar di negara ini."
"Beliau sepatut meliberalisasikan kawalan akhbar ketika berkuasa sebagai Perdana Menteri dulu supaya dia tidak menjadi mangsa selepas meletakkan jawatan," ujar Lim lagi. Berita asal

