Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kekurangan doktor, kakitangan hospital di tahap serius

Situasi kekurangan kakitangan di hospital mahupun klinik kerajaan berada di tahap serius akibat tiada penambahan jawatan bagi doktor, jururawat, pakar farmasi dan kakitangan lain.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran berkata, ini disebabkan sektor perubatan berkembang dengan pembukaan hospital dan klinik baru.

Beliau berkata keadaan ini menyaksikan doktor sedia ada terpaksa bekerja lebih masa, manakala jururawat perlu bertugas dua syif (double shift) pada waktu bekerja.

“Kita boleh lihat peningkatan bebanan kerja dan kita perlu memastikan kebajikan kakitangan terjaga dengan segera untuk mengurangkan keletihan melampau (burnout) di kalangan kakitangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan balas kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 12 Nov lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye sewaktu sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat berharap kementerian itu dikecualikan daripada dikenakan sekatan terhadap penambahan kakitangan kerajaan.

Hal itu, katanya, memandangkan KKM memerlukan lebih ramai kakitangan bagi menampung fasiliti perkhidmatan kesihatan yang baru dibuka, selain menangani masalah kekurangan kakitangan yang sedang dihadapi.

Katanya, kekurangan kakitangan yang dimaksudkan bukan sahaja bagi jawatan doktor, tetapi juga jawatan lain seperti pembantu pegawai perubatan dan sebagainya.

Ganabaskaran berkata, kekurangan kakitangan yang ketara itu turut dapat dilihat di hospital dan klinik di kawasan pedalaman.

Menurutnya, kekurangan sebenar yang dihadapi masih perlu dikenalpasti dan pihaknya menggesa KKM meneliti semula masalah kekurangan kakitangan tersebut dan jumlah sebenar jawatan yang perlu diisi.

“Kita perlukan (kekosongan) jawatan ini dibuka untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk orang ramai, di samping memastikan kakitangan sedia ada tidak mengalami keletihan melampau dan bekerja lebih masa untuk mengganti kekurangan kakitangan.

“Ia telah mencapai tahap yang kritikal dan kakitangan perubatan yang mengalami keletihan melampau pastinya akan berisiko melakukan banyak kesilapan yang menjejaskan keselamatan pesakit,” katanya.

Hilang separuh doktor berpotensi

Ganabaskaran berkata negara dijangka mengalami kehilangan separuh doktor yang mempunyai potensi menyumbang untuk perubatan negara ini sekiranya keadaan tidak berubah.

Baru-baru ini, dilema doktor yang dilantik secara kontrak mendapat perhatian ramai apabila kerap dilaporkan di media cetak, elektronik mahupun media sosial.

Keadaan itu dikatakan berpunca daripada berlakunya lambakan graduan perubatan, sedangkan jawatan yang boleh diisi adalah terhad.

Lee juga mengakui perkara itu dan menyifatkan lantikan secara kontrak dilakukan oleh kerajaan bagi membolehkan graduan perubatan menyelesaikan tempoh latihan selama lima tahun seperti termaktub bawah Akta Perubatan.

Menurut Ganabaskaran lagi, negara akan menyaksikan lambakan doktor muda memasuki sektor swasta dan akan terdapat peningkatan mendadak dalam telekesihatan dan penjagaan kesihatan uber.

Telekesihatan merupakan perkhidmatan kesihatan dalam talian yang menghubungkan pesakit dengan rangkaian doktor dan pengamal perubatan yang luas melalui kemudahan panggilan audio atau video.

“Kita sangat berhati-hati dengan (konsep) telekesihatan ini kerana ia dilakukan tanpa bersemuka dengan pesakit tersebut, di mana sebarang nasihat perubatan akan diberi dengan jawapan tekaan.

“Kita jangkakan akan lebih ramai doktor muda akan secara tidak disangka akan dieksploit melalui model telekesihatan yang dikomersialkan secara melampau dan tidak terkawal,” katanya. 

Lihat Komen
ADS