Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM minta dikecualikan dari sekatan tambah kakitangan

PARLIMEN | Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berharap kementerian itu dikecualikan daripada dikenakan sekatan terhadap penambahan kakitangan kerajaan.

Hal itu, katanya, memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan lebih ramai kakitangan bagi menampung fasiliti perkhidmatan kesihatan yang baru dibuka, selain menangani masalah kekurangan jawatan yang sedang dihadapi.

“Saya harap sokongan YB semua supaya KKM dikecualikan daripada segi sekatan untuk penambahan kakitangan kerajaan kerana ini (ialah) satu kementerian yang memerlukan kakitangan kerajaan yang lebih ramai apabila fasiliti perkhidmatan yang baru ditambah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat malam ini.

Katanya, kekurangan kakitangan yang dimaksudkan bukan sahaja tertakluk pada jawatan doktor, tetapi juga jawatan lain seperti pembantu pegawai perubatan dan sebagainya.

“Apabila kita adakan fasiliti yang baru, kita lihat di kebanyakan tempat tidak ada jawatan yang baru.

“Dalam hal ini, kementerian sedang menguruskan permohonan untuk penambahan jawatan dalam KKM sebanyak 10,675 jawatan tambahan, dan ini belum ada keputusan muktamad daripada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam),” katanya.

Ada kesan dari segi moral

Baru-baru ini, dilema doktor yang dilantik secara kontrak mendapat perhatian ramai apabila kerap dilaporkan di media cetak, elektronik mahupun sosial.

Keadaan itu dikatakan berpunca daripada berlakunya lambakan graduan perubatan, sedangkan jawatan kosong yang boleh diisi adalah terhad.

Lee juga mengakui perkara itu dan menyifatkan lantikan secara kontrak dilakukan oleh kerajaan bagi membolehkan graduan perubatan menyelesaikan tempoh latihan selama lima tahun seperti termaktub bawah Akta Perubatan.

Selepas Lee mengumumkan permohonan penambahan kakitangan itu, Mustapa Mohamed (PH-Jeli) bangkit mencelah menyuarakan sokongannya, malah menyifatkan seluruh rakyat Malaysia turut akan menyokong saranan memandangkan bidang kesihatan ialah bidang yang penting.

“Saya kira lebih 100 peratus ahli dewan akan menyokong saranan YB tadi untuk mewujudkan jawatan baru, ini tiada masalah...

“Jadi adakah YB bersetuju dengan sokongan 100 peratus ahli dewan ini, YB akan lebih bersemangat untuk memperjuangkan masa depan doktor, ya?” katanya disambut tepukan meja oleh wakil rakyat di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Mustapa menyuarakan kebimbangan terhadap kualiti perkhidmatan dan moral doktor yang mungkin terjejas dan “terumbang-ambing” ekoran masalah yang dihadapi mereka.

Namun, bagi Lee, beliau berharap pengumuman yang baru dibuatnya akan dapat membuat para doktor menjadi lebih bersemangat dan memberi jaminan kementerian sentiasa peka dengan masalah yang dihadapi mereka.

“Memang kita faham, apabila masalah kontrak ini muncul, memang ada kesan dari segi moral.

“Kita harap dengan keterangan ini, mereka lebih bersemangat dan kita memang peka dengan masalah-masalah mereka dan kita akan cuba seberapa yang boleh untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS