Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir jangka kalah, tapi tak sangka majoriti lebih 2,000
Diterbitkan:  Nov 18, 2019 11:35 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Selepas Pakatan Harapan mengalami kekalahan teruk di pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai dua hari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa kekalahan tersebut sudah dijangka.

Pengerusi Bersatu itu yang menerima keputusan tersebut pada mulanya meramalkan jumlah majoriti yang berpihak kepada BN tidak melebihi majoriti 2,000, bagaimanapun angka rasmi dicatat sebanyak 15,086 undi.

“Saya ambil maklum keputusan pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai yang diadakan baru-baru ini.

“Saya terima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan.

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih dari 2,000 undi. Namun keputusan rasmi majoriti kekalahan ialah sebanyak 15,086 undi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wee Jeck Seng 

Calon BN Wee Jeck Seng mengalahkan calon PH Karmaine Sardini, dengan memperolehi 25,466 undi, sementara Karmaine memperolehi 10,380 undi.

Menurut Mahathir lagi, satu bedah siasat terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan PRK tersebut.

PH dipercayai dilanda undi protes yang besar membabitkan masyarakat Melayu dan Cina, dan ia dilihat ketara di pusat daerah mengundi (PDM) majoriti Cina apabila kadar peralihan sokongan kepada BN berlaku pada kadar dua kali ganda lebih tinggi berbanding PDM majoriti Melayu.

PH kalah di semua PDM, berbeza dengan rekod PRU lalu apabila PH berjaya memenangi 11 daripada 27 PDM yang ada.

Kekalahan itu turut dikritik oleh veteran PKR Syed Husin Ali yang menyifatkan kekalahan PH sebagai referendum rakyat yang kecewa dan mahu “mengajar” kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

 

Lihat Komen
ADS