Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa yang disembunyi daripada laporan audit 1MDB?
Diterbitkan:  Nov 18, 2019 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

KES PINDA LAPORAN AUDIT | Bekas perdana menteri Najib Razak dihadapkan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB yang disediakan Jabatan Audit Negara pada 2016.

Menurut pernyataan pembukaan timbalan pendakwa raya (DPP) Gopal Sri Ram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Najib kelihatan "bingung, kalau pun tidak terganggu" dengan apa yang ditemui audit.

"Dia mengambil langkah agar petikan-petikan itu dipinda atau dipadam. Apa yang berlaku tak normal.

"Di sebalik hakikat bahawa laporan telah sedia untuk diberi kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), satu mesyuarat dibuat pada 26 Februari 2016 atas perintah Najib. Ia dipengerusi ketua setiausaha negara," katanya.

Gopal berkata pihak pendakwaan akan membuktikan Najib tahu jika fakta-fakta tersebut didedahkan, beliau akan terdedah kepada liabiliti jenayah dan sivil.

Artikel ini akan melihat pindaan-pindaan yang diperincikan dalam kertas pendakwaan.

Nama Jho Low dipadam

Jadual 7.5 dalam laporan asal Jabatan Audit Negara menyatakan Jho Low hadir di mesyuarat khas lembaga pengarah 1MDB pada 26 September 2009.

Ia disahkan oleh Bakke Salleh yang menjadi pengerusi lembaga pengarah pada masa itu. Jabatan audit berkata Bakke turut memberikan minit mesyuarat yang menunjukkan kehadiran Low.

Bahagian itu dalam jadual 7.5 tiada dalam laporan akhir yang dihantar kepada PAC.

Turut dipadam daripada jadual itu ialah nota daripada jabatan audit berkenaan jaminan korporat untuk terbitan bon kedua berjumlah US$1.75 bilion untuk 1MDB Energy (Langat) Ltd.

Walaupun laporan asal menyatakan kedua-dua 1MDB dan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic) diberi jaminan korporat, laporan akhir hanya menyebut Ipic.

Penyata kewangan bercanggah

Menurut kertas pendakwaan, Item 4.2 dalam bab 4 laporan dipadam seluruhnya.

Ia memperincikan bagaimana 1MDB memfailkan penyata kewangan berbeza untuk tahun kewangan berakhir 31 Macn 2014 kepada Suruhanjaya Syarikat, pemilik 1MDB iaitu Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan bank.

Ketika itu Deloitte Malaysia merupakan juruaudit 1MDB.

Syor jabatan audit dalam laporan asal adalah pihak berkuasa patut menyiasat mengapa ada dua penyata kewangan.

Audit sedar kegiatan jual beli bon

Berdasarkan laporan audit asal, pasukan audit sejak 2015 tahu tentang kegiatan jual beli bon (bond flipping) melibatkan bon pertama bernilai RM5 bilion yang dikeluarkan untuk Terengganu Investment Authority (TIA) - pendahulu 1MDB - pada 2009.

Laporan audit asal menjelaskan bagaimana Country Group Securities Public Company Ltd (Thailand) dan Acme Time Ltd (Singapura) masing-masing membuat untung AS$1.3 juta dan AS$125.97 juta dengan membeli bon dengan harga diskaun, sebelum menjualnya semula tiga hari kemudian.

Perkara ini timbul bulan lalu ketika perbicaraan jenayah terhadap Najib berkaitan dana 1MDB. Mahkamah ketika itu dimaklumkan berkenaan entiti berkaitan Jho Low membuat untung atas angin berjumlah RM74 juta dengan jual beli bon.

Menurut laporan audit asal, kegiatan itu digerakkan pada 18 Mei 2009.

Versi pindaan laporan itu tidak menyebut dua syarikat itu.

Pertemuan Najib dengan Yang di-Pertuan Agong

Laporan akhir audit memadam ayat: "Ketika perdana menteri (yang juga menteri kewangan) mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 27 Mei 2009, perdana menteri setuju untuk menangguhkan terbitan bon agar ia diteliti jawatankuasa penyeliaan khas."

Akhir Mei 2009 ialah waktu yang kacau-bilau bagi TIA yang memiliki dua pemegang saham - kerajaan Terengganu dan Menteri Kewangan Diperbadankan.

Menurut keterengan bekas CEO TIA Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika perbicaraan kes 1MDB Najib, lembaga pengarah syarikat telah mengarahkan pengurusan untuk menghentikan terbitan bon RM5 bilion pada 22 Mei 2009.

Bagaimanapun, seperti telah disebut, kegiatan jual beli bon telah pun digerakkan pada 18 Mei.

TIA akhirnya hanya menerima RM4.385 bilion, seperti yang disahkan PAC pada 2016.

 

Lihat Komen
ADS