Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kadar eletrik akan hanya dinaikkan selepas satu pakej yang komprehensif diadakan dengan mengambilkira kepentingan industri dan pengguna.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan adalah tidak wajar untuk mengkaji semula tarif jika satu pakej yanga memberi keuntungan kepada semua pihak tidak diwujudkan.

Najib berkata kerajaan akan mengkaji semula secara keseluruhan industri tenaga di negara ini dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet secepat mungkin.

Menurutu beliau, kerajaan juga akan menganjurkan satu rundingan di antara Tenaga Nasional Berhad dan syarikat-syarikat penjana tenaga bebas (IPP) untuk mewujudkan permuafakatan baru yang menguntungkan kedua-dua pihak.

"Rundingan ini akan diketuai Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Asean-China ICT Week 2006 di kuala Lumpur.

Beliau berkata rundingan pemuafakatan baru itu tidak bermaksud untuk mengkaji semula perjanjian konsesi antara TNB dan IPP tetapi untuk mencari kata sepakat supaya kedua-dua pihak mendapat keuntungan dan tidak membebankan pengguna.

Sementara itu, Lim berkata rundingan itu bagi membincangkan masa depan IPP dan juga untuk mengatasi masalah semasa TNB.

"Kita hormati perjanjian sedia ada sebab IPP sekarang terikat dengan perjanjian konsesi selama 21 tahun dan IPP sudah gunakan dua belas tahun, tinggal sembilan tahun lagi, tentulah mereka mahu tahu apa yang akan terjadi kepada masa depan mereka," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan melihat masalah masa depan IPP sama ada syarikat-syarikat itu akan diberi perniagaan dalam bentuk lesen atau perjanjian konsensi seperti sekarang.

Lim berkata jika IPP diberi perniagaan dalam bentuk lesen, selama-lamanya mereka akan diberi lesen selagi mereka dapat meneruskan operasi dan dalam masa yang sama IPP juga harus memahami kepentingan dan masa depan TNB serta masalah yang sedang dialami TNB.

"Kita lebih mengutamakan bekalan tenaga dengan harga yang mampu ditanggung oleh rakyat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah. Buat masa ini tiada sebarang perkembangan baru mengenai kenaikan tarif elektrik dan jangan buat spekulasi," katanya.

Isnin lepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan beliau tidak mahu wujud satu pihak yang mendapat keuntungan berlebihan manakala satu lagi mengalami kerugian dalam kerjasama antara pembekal tenaga elektrik negara.

Abdullah memberi jaminan proses urus niaga tenaga elektrik antara TNB dan IPP yang selama ini membebankan syarikat utiliti itu tidak akan berulang.

Khamis lalu, TNB menyatakan bahawa ia kini menghadapi kedudukan kewangan yang paling meruncing dalam sejarahnya dan hasil kewangannya bagi tempoh enam bulan berakhir 28 Feb 2006 mencatatkan kerugian ekonomi sebanyak RM1 bilion.

Antara penyumbang kepada masalah itu ialah tanggungan yang membebankan terhadap IPP kerana TNB terpaksa membayar lebih RM4 bilion setahun kepada syarikat penjana tenaga bebas itu tanpa mengira sama ada kapasiti digunakan sepenuhnya atau tidak.

Pada masa ini, sembilan IPP bernaung di bawah lima syarikat konsesi iaitu YTL Power Generation, Malakoff Bhd., Powertech, Sime Darby dan Genting Sanyen.