Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemergian ke rahmatullah Tun Ghafar Baba semalam menyebabkan negara kehilangan seorang negarawan dan pejuang yang sukar dicari ganti.

"Negara telah kehilangan seorang negarawan dan pejuang yang tidak dapat dihitung jasanya kepada masyarakat dan tokoh seperti Allahyarham sukar dicari ganti," kata Perdana Menteri ketika membentangkan usul merakamkan perasaan dukacita kerana kembalinya ke rahmatullah Ghafar dan ucapan takziah kepada keluarganya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata sebahagian besar daripada hayat Ghafar diabadikan untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara, baik di waktu senang ataupun susah.

Abdullah berkata kesetiaaan Allahyarham adalah kepada perjuangan dengan sentiasa memberikan khidmat secara konsisten sama ada ketika memegang jawatan dalam kerajaan dan parti, mahupun ketika menjadi anggota biasa dan tidak memegang sebarang jawatan.

"Dalam menghulurkan khidmat, Allahyarham sentiasa berpegang kepada falsafah orang Semenda `dijemput...datang, disuruh...pergi'. Ketika tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan, Allahyarham terus menyokong dan taat kepada parti dan kepada kerajaan dan bersedia memberi pandangan dan nasihat apabila diperlukan.

"Itulah sifat negarawan yang telah dibuktikan oleh Allahyarham yang wajar dijadikan contoh ikutan. Negara dan bangsa telah kehilangan negarawan bernama Abdul Ghafar bin Baba, yang pernah menjadi anggota dewan yang mulia ini selama 35 tahun.

"Jasa dan khidmat baktinya akan terpahat dalam sejarah negara. Dewan ini merakamkan penghargaan setinggi-tingginya atas jasa, khidmat dan bakti yang telah Allahyarham sumbangkan kepada negara dan bangsa," katanya.

Perdana Menteri berkata negara dan rakyat amat berterima kasih kepada anggota keluarga Ghafar kerana pengorbanan mereka merelakan Allahyarham memperuntukkan sebahagian besar daripada usia dan kehidupan untuk berkhidmat kepada negara dan bangsa.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, dengan rasa penuh hiba, saya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Kita sama-sama berdukacita dan bersimpati atas kesedihan yang dirasakan anggota keluarga Allahyarham," katanya.

Abdullah berkata Ghafar sentiasa memperlihatkan kematangan dan menyampaikan suara keseimbangan terutama dalam perkara-perkara sensitif yang menyentuh agama, kaum, budaya dan bangsa.

"Allahyarham adalah antara pemimpin yang menerima realiti akan komposisi warga di negara ini yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa dan sentiasa menjadi penstabil termasuk dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan kaum lain.

"Malah ketika MCA menghadapi krisis kepimpinan pada tahun 1985, Allahyarham walaupun bukan berketurunan Cina telah diterima untuk memimpin parti itu dalam satu tempoh transisi," katanya.

Perdana Menteri berkata dalam kalangan orang Melayu, Allahyarham dikenali sebagai suara Melayu yang sentiasa menjadi jurubicara yang sentiasa peka dalam menyampaikan pandangan rakyat biasa dan bawahan.

Abdullah berkata walaupun dilahirkan dalam keluarga miskin, Ghafar memiliki pemikiran terbuka hingga diterima keikhlasannnya sebagai pemimpin oleh setiap warga Malaysia daripada pelbagai agama dan kaum.

"Padamlah satu kandil negara yang sepanjang hayatnya menyalakan cahaya untuk menerangi kehidupan bangsanya. Allahyarham lahir dalam keluarga miskin tapi kemiskinan tidak menghalangnya mencipta kejayaan.

"Malah kemiskinan itu menjadi sumber kekuatan yang menjadikan Allahyarham kaya dengan pengalaman dan kukuh dengan keazaman hingga sampai ke peringkat yang diiktiraf sebagai negarawan," kata Perdana Menteri.

Ghafar, 81, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur Ahad lalu selepas lebih tujuh bulan melawan penyakit asma dan jantung yang dihidapinya.

Jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, dengan penuh penghormatan negara.