Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan dasar terbuka yang diamalkannya sekarang bukan bererti beliau lemah sebaliknya membuktikan majoriti besar yang diperolehi kerajaan bukan satu "rubber stamp".

Sebaliknya beliau gembira dengan suasana itu kerana telah mewujudkan senario baru di negara ini hinggakan barisan penyokong kerajaan di Parlimen tidak teragak-agak untuk mengkritik kerajaan.

"Inilah apa yang dikatakan sebagai terbuka, semua orang katakan apa yang mereka ingin katakan. Saya beritahu menteri-menteri saya bahawa mereka tidak harus kecewa dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka dan kementerian mereka.

"Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti besar dalam Parlimen dan penyokong BN banyak mengkritik dan ini menunjukkan bahawa majoriti besar tidak sekadar menjadi "rubber stamp"," katanya kepada kira-kira 300 CEO dan tokoh korporat terkemuka pada majlis makan malam anjuran Kelab Bisnes Kuala Lumpur.

Beliau gembira kerana pihak yang tidak suka dengan apa yang sedang berlaku seperti pertubuhan bukan kerajaan, menghantar surat dan mengadakan perjumpaan dengan penyokong BN.

" Saya tidak kisah apa yang orang cakap mengenai diri saya dan sama ada dasar ini akan diteruskan oleh pemimpin akan datang, kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku. Kadang kala sesuatu perkara itu dilakukan mengikut keadaan masa itu," katanya semasa ditanya adakah beliau fikir dasar itu akan diteruskan di masa depan.

Abdullah berkata pada pandangannya, dasar terbuka pentadbiran beliau telah mewujudkan pengalaman baru dan beliau memberikan contoh kekerapan stesen televisyen TV3 melaporkan banyak perkara yang tidak betul di negara ini.

"Adalah lebih baik untuk tahu daripada tidak tahu. Adalah bahaya jika anda tidak tahu kerana ia mungkin meletup di depan muka anda," katanya.

Little Napoleon

Menurut laporan Bernama, Abdullah turut ditanya mengenai perkhidmatan awam yang pernah mempunyai "gergasi" di kalangan kakitangan awam tetapi kini pula mempunyai "Napoleon kecil" yang mungkin menjadi sebab kenapa beliau tidak berpuas hati dengan sistem penyampaian bahagian tertentu kerajaan.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan seluruh perkhidmatan awam hanya kerana segelintir yang menimbulkan masalah.

Perdana Menteri memberikan contoh kritikan terhadap polis baru-baru ini yang dianggapnya tidak adil hanya kerana beberapa orang yang bermasalah dalam pasukan itu.

"Jika polis tidak menjalankan tugas mereka dengan betul, negara ini tidak akan aman dan stabil. Sudah tentu ada anggota polis yang perlu didisiplinkan dan tindakan akan diambil terhadap mereka."

Abdullah menegaskan beliau tidak bermaksud untuk memulakan mengkritik perkhidmatan awam sama seperti terhadap polis tahun lepas dengan Suruhanjaya Diraja yang beliau tubuhkan yang banyak menonjolkan penyalahgunaan kuasa.

"Adalah lebih baik mereka berhenti kerja daripada kita membuang mereka. Saya tahu, saya pernah berkhidmat dalam sektor awam sejak 1964," kata bekas kakitangan awam yang menjadi ahli politik itu.

Khidmat SMS

Katanya dalam menggesa bagi tindakan diambil terhadap kakitangan awam atau polis yang tidak bertanggungjawab, orang ramai seolah-olah mahu "melihat darah setiap masa".

"Tetapi dalam negara ini kita ada undang-undang, kita perlu mematuhi undang-undang" katanya.

Abdullah juga bercakap mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) yang beliau gambarkan sebagai "alat paling banyak disalahgunakan" di Malaysia.

"Saya tidak tahu SMS itu untuk apa," katanya yang jelas merujuk kepada kaedah yang digunakan untuk tujuan negatif seperti menyebarkan khabar angin.

"Inilah masalah dengan kita, kadang kala kita senang dipengaruhi," katanya.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata beliau bimbang dengan perkhidmatan Rakan Cop yang baru dilancarkan untuk membolehkan orang ramai melaporkan kejadian jenayah.

"Kita tidak tahu jika mesej itu betul-betul atau mereka sengaja mempermainkan polis," katanya