Terjemahan Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui fakta-fakta di sebalik keputusan kerajaan untuk membatalkan pembinaan jambatan bengkok, kata bekas Presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria.

"Kita mahu tahu kebenarannya. Kita mahu tahu fakta-faktanya. Jika kerajaan mendakwa ianya dibuat untuk kebaikan rakyat, maka rakyat mempunyai hak untuk mengetahui maklumat yang betul.

"Jika tidak, jangan dakwa ianya keputusan rakyat kerana rakyat tidak boleh buat keputusan dalam kejahilan," katanya sambil menambah, kerajaan perlu membuktikan bahawa ia mengamalkan ketelusan.

Bercakap dalam sidang akhbar yang diadakan oleh Matthis Chang bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad Zainur membidas pihak akhbar yang hanya menyokong keputusan kerajaan semata-mata.

"Mereka tidak bersedia untuk mendedahkan fakta-fakta sebenarnyanya. Anda tidak boleh mendakwa ianya keputusan rakyat apabila kita tidak tahu apakah fakta-faktanya.

"Bagaimana anda boleh kata rakyat sudah memutuskannya? Bilakah mereka bertanya kepada rakyat untuk membuat keputusan? Bilakah fakta-fakta dinyatakan kepada rakyat?" soalnya.

'Tuntutan palsu'

"Bagaimanakah kita memberi persetujuan apabila kita tidak tahu fakta-faktanya," katanya sambil membaca kenyataan Duta Tugas-tugas Khasnya Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak bahawa ahli Parlimen BN mewakili pandangan rakyat.

"Hakikatnya ialah rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sebab-sebab jambatan tersebut tidak jadi dibina," katanya.

Beliau juga membidas pelbagai pihak yang membuat kenyataan mengenai isu jambatan tersebut tanpa mengetahui fakta sebenarnya.

"Setiap orang bebas bercakap, tetapi bukan mengenai fakta-fakta. Oleh itu kita dapati ada kenyataan menteri yang bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri, dan sebagainya.

"Saya tidak tahu sama ada inikah hasilnya kebebasan bersuara yang cuba dilaksanakan oleh perdana menteri," katanya.

Menurut Zainur, perkara yang sama berlaku kepada isu Permit Import heboh diperkatakan baru-baru ini di mana setiap orang memberi pandangan yang bercanggah antara satu sama lain.

Beliau juga menyuara kekecewaannya kerana surat yang ditulisnya untuk meminta fakta-fakta berhubung pembatalan jambatan tersebut, tidak disiarkan oleh akhbar New Straits Times dan The Sun.

"Tentunya saya tahu modus operandi mereka, pendekatan mereka. Saya tahu, saya juga terlalu kritikal mengenai perkara-perkara tertentu, termasuk mengenai kerajaan.

"Tetapi di bawah kepimpinan sekarang, kita mendakwa wujud kebebasan akhbar, kecuali ianya menghina atau boleh mencetus ketegangan kaum. Jadi apa salahnya menulis surat untuk mencari kebenaran?

"Jika anda mengadu mengenai kepimpinan sebelum ini, maka apa bezanya dengan yang baru ini? Cuma orang yang berbeza mengambil alih media sekarang. Mereka di sana untuk menjaga kepentingan orang tertentu yang kini berkuasa.

"Dan kita sebagai rakyat, terpaksa menunggu lama untuk melihat keadaan berubah. Tetapi ianya tidak berlaku...kita tidak melihat apa-apa (yang berlaku lagi)," katanya.

Merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, bekas timbalan perdana menteri itu juga pernah mendakwa tidak berdaya untuk membawa perubahan ketika masih berada di dalam kerajaan.

"(Bekas Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Musa Hitam meletakkan jawatan kerana soal prinsip kerana beliau tidak sehaluan dengan Dr Mahathir. Jika Anwar tidak bersetuju dengan Dr Mahathir, mengapa tidak meletakkan jawatan?" katanya.

Pilihan untuk meletakkan jawatan, katanya, boleh diambil oleh mana-mana anggota kabinet jika mereka tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Kanan Singapura Lee Kuan Yew dan bekas Perdana Menteri republik itu, Goh Chok Tong kini tidak boleh mendakwa, mereka tidak mewaklik rakyat Malaysia atau kerajaan Singapura ataupun kabinet masing-masing.

"Pak Lah kini tidak boleh berkata yang keputusan untuk membina jambatan tersebut adalah keputusan kabinet. Beliau adalah sebahagian daripada kabinet, jadi ia juga adalah keputusan beliau," katanya. Berita asal