Terjemahan Seorang ahli ekonomi mendakwa bahawa draf rang undang-undang Industri Perkhidmatan Air telah mendedahkan Malaysia terhadap risiko "menjual kedaulatannya" kepada syarikat-syarikat perkhidmatan air asing.

Penyelaras Gabungan Menentang Pengswastaan Air (CAWP), Charles Santiago berkata, Kesatuan Eroph telahpun meminta Malaysia membuka sektor airnya di bawah Perjanjian Am Mengenai Perdagangan dalam Perkhidmatan (GATS).

"Ini adalah satu hakikat. Air pastinya termasuk dalam GATS sepertima yang disahkan oleh sumber-sumber di Geneva yang memantau trend globalisasi," katanya dalam sidang akhbar di Petaling Jaya.

"Ini kerana air adalah satu perniagaan yang amat menguntungkan di Malaysia. Tambahan pula, pelaburan dalam sektor tempatan dijangka mencecah RM100 bilion atau lebih dalam tahun-tahun akan datang,"katanya.

Tiga syarikat gergasi dunia adalah RWE/Thames Water (UK),Vivendi (Perancis) dan Suez.

Santiago berkata, melalui draf WSI, Malaysia memudahkan lagi syarikat asing masuk dan mengambil alih sektor bekalan air.

"Sekali GATS terbabit, maka tiada lagi sekatan dalam perdagangan. Dalam kes ini, maka Parlimen atau undang-undang bekalan air pun tiada diperlukan lagi.

"Ini kerana perlesenan bekalan air akan melanggarkan komitmen Malaysia untuk menyediakan akses kepada pasaran dan rawatan negara, dan sekaligus melanggar perjanjian GATS.

"Hanya satu langkah yang boleh mengelak Malaysia daripada kehilangan kedaulatannya dan ianya ialah mengekalkan pengurusan air di bawah pihak berkuasa kerajaan, di mana ia tidak membabitkan GATS," katanya.

Untuk berbuat demikian, kata Santiago, perkataan "individu" dalam WSI mesti didefinasikan bermakna pihak sebuah negeri/kerajaan atau entiti awam dan bukan sebuah syarikat.

Beliau mengingatkan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi supaya berhati-hati dengan rang undang-undang tersebut.

Tidak tahu mengenai GATS

Dalam salah satu mesyuarat gabungan tersebut di Putrajaya, Santiago berkata, beliau terperanjat besar apabila mengetahui mengenai kejahilan di kalangan para pegawai kanan mengenai GATS.

"Dapat dirasakan wujudnya kekeliruan sewaktu penjelasan kami mengenai GATS dan implikasinya kepada sektor air jika pindaan tidak dibuat kepada rang undang-undang perkhidmatan air itu.. maka kami bertanya sama ada mereka pernah mendengar tentang GATS.

"Kami amat terperanjat apabila ada antara mereka berkata tidak pernah mendengarnya manakala seorang pegawai kanan berkata, Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) seharusnya memberitahu mengenai perkara seumpama itu," katanya.

Katanya, begitu juga dengan ahli-ahli Parlimen di mana hanya segelintir sahaja yang tahu mengenai tentang GATS, manakala yang lainnya menyangka ianya satu propaganda badan bukan kerajaan (NGO).

Pada 10 April, WSI dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dikemukakan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, dengan hanya tiga perubahan kecil, walaupun terdapat 350 syor yang dikemukakan oleh 80 perundingan awam, yang menurut kementerian berkenaan, diadakan sepanjang tempoh lebih lima bulan.

Pengarah Pusat Alam Sekitar Global, Faizal Parish juga membangkitkan mengenai ketiadaan kawalan dan pemantauan yang mencukupi bagi mengelak berlakunya bencana alam sekitar.

"Kejadian-kejadian pencemaran sumber air kerana dimasuki air buangan sampah dan tahap kandungan amonia yang tinggi dalam bekalan air, menunjukkan kita semua terdedah kepada semua itu.

"Ia juga turut membuktikan bahawa undang-undang sekarang tidak mencukupi untuk mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang, memandangkan beberapa loji rawatan air sering terpaksa berulangkali ditutup," katanya.

Menurutnya, matlamat polisi itu pada awalnya teermasuk dalam WSI, tetapi kemudiannya hanya dijadikan nota khaki dan nota penjelasan atas nasihat Peguam Negara.

"Saya tidak tahu apa berlaku. Kita perlukan rangkakerja kawalselia dan penguatkuasaan untuk mengelak berlakunya ketidakselesaan dan bencana.

"Saya bimbang, suatu hari nanti, air dan kawasan sumber air menjadi begitu tercemar dan tidak boleh dirawat lagi," katanya.

Sistem 'kono'

Menurutnya, dengan memilih sistem rawatan air yang termudah dan termurah di dunia, katanya, Malaysia kini tidak mampu untuk melupuskan toksin dan bahan pencemaran lain seperti buangan bahan logam.

"Ia tidak mempunyai sistem yang mampu melupuskan toksin dan bahan pencemaran di loji-loji rawatan air, yang sebahagian besarnya direkabentuk untuk melupuskan pemendapan dengan mencampurkan bahan kimia tertentu.

"Tempoh lima tahun lalu telah menyaksikan banyak loji rawatan air ditutup di Selangor kerana terdapat banyak kelodak dalam sungai," katanya, sambil menambah sistem yang digunakan sekarang sudah berusia lebih 80 tahun.

Sebaliknya, kata beliau, WSI tidak mengesyorkan sistem yang lebih canggih atau menaiktaraf sistem rawatan sedia ada.

Faizal berkata, draf undang-undang tersebut juga tidak menyebut langsung mengenai 'pengurusan permintaan' yang merupakan satu komponen penting dalam rangka tindakan pengurusan keseluruhan perkhidmatan air di banyak negara lain.

"Rang undang-undang itu reaktif di mana syarikat bekalan air dikecualikan daripada obligasinya membekal air sewaktu berlaku krisis air. Inilah sebabnya bahasa yang digunakan dalam rang undang-undang adalah amat penting.

'Tidak terdapat syarat bagi syarikat bekalan air mengurus permintaan dan melaksanakan program pemuliharaan sepertimana yang diperkenalkan dengan jayanya di Mexico 15 tahun lalu," katanya.

Di Malaysia, katanya, kerajaan persekutuan menanggung beban kewangan dengan menggunakan wang pembayar cukai.

Katanya, tiada agensi kerajaan yang mencadang diwujudkan 'pengurusan permintaan' dalam dua rancangan Malaysia sebelum ini.

"Sekurang-kurangnya 10 peratus daripada peruntukan untuk infrastruktur air dalam rancangan lima tahun itu, mestilah diperuntukkan untuk pengurusan pemintaan," tambah Faizal.

Pengguna tidak dilindungi

Pengurus Program Pemantauan Kemampanan Globalisasi, Greg Lopez pula berkata, pengguna tidak diberi perlindungan langsung di bawah rang undang-undang perkhidmatan air.

"Kita tidak dapat membetulkanhya kecuali ke mahkamah untuk mengendalikan aduan pengguna dan menuntut gantirugi.

"Menteri juga diberi kuasa yang terlalu luas, termasuk budibicara untuk menentukan piawaian mutu air sedangkan kementerian kesihatan telah menetapkannya yang lebih tinggi daripada piawaian antarabangsa," katanya.

Ini, katanya, menimbulkan isu wujudnya dua piawaian, isu pematuhan dan isu obligasi perundangan bagi syarikat-syarikat perkhidmatan bekalan air.

Lopez berkata, Forum Air mencadangkan rang undang-undang ekslusif untuk para pengguna kerana jika tidak, ia akan menjadi badan pengawal industri berkenaan sama seperti Suruhanjaya Multimedia yang didominasi oleh syarikat gergasi telekomunikasi.

"Sejak dari awal lagi ia tidak menguntung pengguna, contohnya, dengan memberi pilihan kepada suruhanjaya perkhidmatan air untuk mewujudkan piawaian perlindungan pengguna, dan tidak dijadikannya sebagai syarat mandatori," katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 5, Edward Lee dan Presiden Persatuan Penduduk Petaling Jaya Selatan, Mohamed Umar Peer Mohamad.

"Mengapa dilonggokkan perkhidmatan air dan pembetungan di bawah satu undang-undang, sedangkan ianya dikendalikan oleh syarikat-syarikat yang berlainan," soal Lee.

"Kerajaan menganggap orang awam tidak mempunyai suara dalam keputusan-keputusan yang dibuatnya berhubung dengan globalisasi. Tetapi apa yang kita lakukan ialah untuk menghadkan potensi kerosakan yang bakal menimpa kita," katanya.

CAWP merupakan satu gerakan persatuan sivil yang mempunyai 25 anggota yang aktif, terdiri daripada pelbagai NGO alam sekitar, perdagangan dan kesatuan sekerja, persatuan pengguna, badan agama, persatuan penduduk, badan hak asasi manusia dan individu yang prihatin dengan isu tersebut. Berita asal