Exco Pemuda Umno Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir mengesyorkan supaya isu pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor dibawa untuk diadili oleh mahkamah antarabangsa.

"Seperti kata Menteri Luar (Datuk Seri Syed Hamid Albar), bahawa kita berdiri atas asas yang kukuh. Kita yakin kita boleh menang jika dibawa ke mahkamah antarabangsa.

"Jadi kita jangan undur sebelum berjuang. Bawalah ke mahkamah antarabangsa. Jika kita kalahpun, tetapi martabat kita masih kekal," katanya ketika menyampai ucaptama dalam forum mengenai hubungan Malaysia-Singapura di Johor Bahru semalam.

Ketika menjawab soalan hadirin selepas itu yang mendakwa Malaysia dilihat mengalah kepada Singapura, Mukhriz secara peribadi berpendapat mungkin pasukan perunding Malaysia tidak cekap berdepan dengan pihak Singapura.

"Perunding dari Singapura ini, kalau kita tidak cekap, dia cincang kita hidup-hidup. Maka kita kena cekap, kita kena masuk dewan rundingan dengan maklumt secukupnya, memahami sejarah rundingan, membawa dokumen mengenai apa yang telah dijanjian sebelum ini," tegasnya.

Kenyataan tegas Mukhriz dalam ucaptamanya itu dilihat senada dengan kelantangan bapanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut mempersoalkan keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan tersebut.

Forum bertajuk 'Keharmonian hubungan Malaysia-Singapura sebagai teras kesetiakawanan dan keamanan Asean' itu dianjurkan oleh Biro Penerangan dan Halehwal Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pulai.

Mukhriz yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda Umno Malaysia mengambil contoh mengenai pertikaian Malaysia dengan Indonesia mengenai Pulau Litigan yang dibawa ke mahkamah antarabangsa dan akhirya memihak kepada Malaysia.

Isu jambatan paling mudah

"Rakan-rakan dari Indoneisa menerima (keputusan) mengenai Pulau Ligitan dengan baik. Jadi kitapun lebih kurang begitu. Jika kita tidak cuba, kita tidak tahu sama ada kita boleh menang di peringkat antarabangsa," katanya.

Forum tersebut menampilkan ahli penal yang terdiri daripada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid; bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Tan Sri Abdullah Ahmad; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB), Datuk Hassan Ahmad dan bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Ruhanie Ahmad.

Bercakap kepada kira-kira empat ratus hadiran di majlis tersebut, Mukhriz juga mengesyorkan supaya semua isu-isu yang tertangguh dengan Singapura dihidupkan semula. Isu-isu itu antaranya mengenai air, tanah KTM, Tabung Simpanan Pekerja (CPF), ruang udara dan pembinaan jambatan.

Menurut Mukhriz, isu jambatan itu merupakan isu yang paling mudah dan paling dekat untuk diselesaikan.

"Bila (kita) menggunakan kaedah (rundingan) tidak mengikut pakej lagi, maka isu-isu ini dibincangkan satu persatu mengikut pendekatan 'buah yang rendah dan sudah masak kita petik dahulu'. Biar isu yang susah buah yang belum masak kita biarkah dahulu. Jadi isu jambatan, buah yang paling masak dan sudah boleh dipetik," tegasnya.

Menurutnya, sehingga awal bulan Mac tahun ini, terdapat tiga perbincangan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, di mana rundingan diadakan dalam tiga bilik berasingan, masing-masing membincangkan tentang jambatan, air dan ruang udara.

"Perbincangan di bilik mengenai jambatan habis dalam masa sejam. Tetapi perbincangan di bilik mengenai pasir dan ruang udara, (makan masa) sehingga dua hari," tambahnya.

Menurut Mukhriz lagi, Perdana Menteri Singapura ketika itu, Goh Chok Tong bersetuju pada 11 April 2002 yang Malaysia boleh memulakan pembinaan jambatan bengkok pada bila-bila masa.

Keluasan bertambah

"Goh kata jambatan luruslah yang ideal tetapi syaratnya ialah (bekalan) pasir, ruang udara. Dan pasir yang diminta ialah 50 juta meter liter padu setahun untuk masa 20 tahun.

"Maknanya, dalam masa 20 tahun, Singapura beli satu bilion meter padu pasir. Ini bermakna Singapura dapat tambak kawasan (laut) seluas 350 hingga 500 kilometer persegi," katanya.

Keluasan tersebut, tegas Mukhriz, merupakan 73 peratus daripada keluasan Singapura sekarang dan pulau tersebut akan memanjang dan saiznya bertambah hampir dua kali ganda dari sekarang, jika Malaysia bersetuju menjual pasir pada Singapura.

Anggaran kosnya pula, katanya, ialah S$1 bilion (RM2.3 billion) dalam masa 20 tahun.

"Isu yang kita lihat mengenai jambatan (ini), persetujuannya bukan sahaja antara Goh dan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Dr Mahathir Mohamad, tetapi juga Menteri Kanan Lee Kuan Yew, mengikut surat bertarikh 11 April 2002.

"Semua ini tertera dalam buku yang diterbitkan oleh Singapura... jadi tidak timbul isu Akta Rahsia Rasmi (OSA) di sini," tegas Mukhriz lagi.

"Dalam surat itu Goh berkata, pilihannya jambatan penuh dan lurus. Maksudnya bukan separuh, satu jambatan yang penuh, dan dia kata Malaysia akan bina separuh dari Johor dan Singapura (bina) separuh dan kata (jambatan itu) bertemu temui di tengah-tengah. Malaysia akan biayai separuh dan Singapura biayai separuh (lagi). Itu yang dirasakan ideal.

"Tetapi dalam surat yang sama, disebut banyak perkara jambatan, ruang udara, tanah KTM dan sebagainya. Tetapi tentang jambatan hanya tiga perenggan. Dalam tiga perenggan ini disebut setuju jika Malaysia membina jambatan dahulu di sebelah Malaysia tetapi harus dibiayai Malaysia sendiri, dan meminta (supaya) Tambak Johor (hanya) dirobohkan selepas 2007," kata Mukhriz.

"Tetapi sekali lagi, dia sebut ini bukan ideal bagi mereka, tetapi mahu jambatam lurus. Surat itu tidak sekalipun menyebut tentang pasir. Lee Kuan Yew pula pada 8 September 2001, sebelum dari itu, juga menyebut sebab kita khuatiri perbincangan kita tertunggak, tidak selesai kerana semua pakej, bila tertunggak, kita risau mereka akan tukar fikiran," katanya.

Perjanjian bekalan air

Maka Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir bertanya kepada Kuan Yew bolehkah Malaysia meneruskan membina jambatan separuh itu dan Kuan Yew kata tiada halangan dibina di sebelah Malaysia, dan kalau boleh bersambung di tengah-tengah Tambak Johor, manakala Singapura pula akan menambak lautnya.

"Di sebelah Malaysia, ia adalah hak kita (untuk) membinanya. Elok kalau saya terang di sini bahawa kita tidak akan musnahkan Tambak Johor sewenang-wenangnya tetapi akan menggantikannya dengan sebuah jambatan yang lebih sesuai untuk menampung (jumlah) pengguna yang semakin meningkat daripada 70 juta setahun.

"Selain menggantikan Tambak Johor, dengan jambatan itu, kita juga akan menggantikan landasan KTM yang ada mekanisme 'swing' yang membolehkan kapal lalu di bawahnya," tegas Mukhriz.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat dua perjanjian mengenai bekalan air dengan pihak Singapura.

Yang pertama ialah perjanjian antara Suruhanjaya Persekutuan dan Lembaga Utiliti Awam (PUB) Singapura, tentang paip air di atas tambak Johor.

"Dalam perjanjian itu disebut, kita tidak perlu mendapatkan persetujuan Singapura untuk mengalih atau membuat pembaikan kepada Tambak Johor dengan cara kita membina jambatan.

"Apa yang perlu kita buat ialah memberi notis enam bulan dan tanggungjawab untuk membaiki paip air itu terletak di bahu Singapura atas pembiayaannya sendiri, dan ini telah dipersetujui dan Singapura tidak sangkal tentang perjanjian ini.

"Jangan kita keliru dengan perjanjian bekalan air dengan PUB. Ini perjanjian mengenai paip yang bekalan air yang terletak di tanah Johor, dan itu kita perlu mendapat persetujuan dari Singapura dan pengalihan paip di tanah Johor ini memang pernah dipindahkan dengan kerjasama Singapura. Itupun tidak ada masalah.

Ancaman tidak berasas

"Jadi tidak perlu kita dengar sebutan dari pelbagai pihak, jika kita kacau bekalan air, ini satu tindakan perang. Jauh sekali, kerana dalam perjanjian kita dalam Singapura termaktub cara kita melakukan ini.

"Jadi tuntutan ancaman oleh Singapura itu langsung tidak berasas. Kalau kita potong (bekalan) air, landasan KTM dan musnah Tambak Johor, mereka mengancam untuk mengheretkan kita ke mahkamah antarabangsa. Tetapi hakikatnya, kita tidak pernah kata kita hendak putuskan bekalan air, putuskan landasan keretapi, atau (hendak) memusnahkan Tambak Johor.

"Apa yang kita kata ialah hendak membina jambatan baru yang lebih elok... bekalan air tidak putus, landasan kereta yang lebih elok dan undang-undang menyebelahi kita, jauh sekali tindakan ini dianggap sebagai (tindakan) perang ke atas Singapura," tambah Mukhriz.

Bercakap mengenai sikap Singapura dalam rundingan dengan Malaysia, beliau berkata jelas dapat dilihat sikap kiasu (tidak rela kalah) yang terserlah di peringkat tertinggi dalam kerajaan republik itu.

"Jadi, dengan sikap kiasu ini, susah kita hendak berkompromi, sehinggalah ada 'win-win situation' dapat dicapai. Jika boleh mereka harus ikhlas dengan kita, dengan sanggup menerima sedikit kompromi supaya hubungan kita dengan Singapura yang sedia terjalin bertambah erat, (di mana) kedua-dua (negara) dapat membangun dengan lebih pesat lagi," katanya.

Ketika menjawab soalan hadirin, Mukhriz berkata: "Kita lihat cara mereka berunding, mereka selalu tukar tiang gol kadang-kadang kata pakej, kadang-kadang tidak pakej, kadang-kadang dilambatkan, dan ada yang tidak mahu bincang langsung atau dilengah-lengahkan.

"Mengikut cara Kuan Yew pula, kalau sebelum perbincangan, dia minta diadakan perbincangan empat mata dengan ayah saya. Kita ingat 'courtesy call', tetapi dia sebut banyak perkara yang hendak dirunding.

"Bila masuk dalam bilik rundingan, dia kata dia telah bincang dengan Dr Mahathir dan Dr Mahathir setuju. Bila dia balik, dia tulis surat menyebut apa yang kononnya yang telah dipersetuju dan tidak dipersetuju. Dan dia hantar pada kita.

"Kalau kita tidak pandai, maka kita terima bulat-bulat apa yang telah ditulisnya. Tetapi cara kita, kita sebut bukan itu yang kita maksudkan. Kita kata kedua-dua Perdana Menteri mesti bersetuju, bukan Menteri Kanan. Selagi perjanjian tidak ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri, selagi itulah ia tidak jadi sah.

"Perbincangan dengan Tun Daim Zainuddin pun disebut telah dipersetujui oleh Tun Daim, tetapi menunggu kelulusan kedua-dua Perdana Menteri. Kita tidak boleh menganggap itu sebagai satu perjanjian, selagi tidak ditandatangan," kata Mukhriz.

Ditanya sama ada pada pandangannya, keputusan pembatalan pembinaan jambatan itu muktamad, beliau berkata: "Seperti yang kita maklum, apa yang diumumkan oleh kerajaan (keputusan itu) adalah atas desakan rakyat. Saya agak, desakan rakyat itu adalah rakyat Johor. Saya tidak pasti kerana saya ada dengan benda-benda lain.

"Jadi terpulanglah kepada rakyat Johor. Jika itu hasrat rakyat Johor, (maka) itulah yang jadi kenyataan. jika ini bukan hasrat rakyat Johor, maka mungkin kita usulkan dihidupkan semula pembinaan jambatan. Itu terpulang kepada rakyat Johor. Tindakan rakyat Johor ada impaknya kepada negara keseluruhannya," katanya.