Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Berbagai NGO hari ini memfailkan laporan polis terhadap gabungan persatuan guru dan pengurus sekolah Cina Malaysia, Dong Jiao Zong.

Mereka menggesa polis supaya menghalang kongres yang bakal dianjurkan oleh kumpulan pendidikan Cina itu.

Kira-kira 200 orang berkumpul di luar ibu pejabat polis daerah Kajang seawal 9 pagi tadi untuk mewakili dan menyokong NGO masing-masing.

Ketua Penerangan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid), Masridzi Sat, dalam laporan polisnya, berkata perhimpunan pada Sabtu ini akan menimbulkan kekecohan di kalangan orang Melayu.

Menurut laporan polis yang difailkan, NGO itu meminta pihak polis menyiasat dan menghentikan kongres itu yang dikhuatiri boleh membawa kepada perbalahan kaum.

"Kami menggesa pihak polis menyiasat dan mengentikan Perhimpunan 28 Disember 2019.

"Ini kerana perhimpunan ini dilihat akan menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang membawa kepada rusuhan kaum sepertimana yang berlaku pada 13 Mei 1969," kata laporan itu.

Dalam laporan polis yang difailkan, Masridzi turut menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan Dong Jiao Zong, mendakwa gabungan persatuan guru dan pengurus sekolah Cina itu mempunyai elemen hasutan, "tidak menghormati kontrak sosial, anti-Melayu dan anti-Islam."

Sementara itu, Setiausaha Agung NGO Muafakat Mahmud Hishammuddin mendakwa terdapat lebih 40 NGO yang hadir hari ini untuk membuat laporan polis.

Semalam, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menjelaskan kongres pada 28 Disember ini bukan suatu himpunan bantahan tetapi suatu majlis tertutup bagi membincangkan pelaksanaan pelajaran Jawi di sekolah vernkular.

Anggota Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong (gambar, atas) menegaskan pihaknya tidak merancang sebarang himpunan dan pertemuan itu cuma terbuka kepada wakil NGO Cina dan bukannya kepada orang awam.

"Ini adalah pertemuan yang akan membincangkan mengenai topik pendidikan dan isu tulisan Jawi. Pertemuan (dipanggil) untuk menyatakan pendirian (NGO Cina), bukanlah perhimpunan kaum," katanya kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa penganjuran kongres itu akan membawa kepada kekacauan.

Mahathir berkata kumpulan Melayu akan bertindak balas dengan "cara yang sangat Melayu" sekiranya kongres itu diteruskan.

"(Jika) mereka mahu melakukan sesuatu yang sangat Cina, respons orang Melayu akan sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ditutup. Jika anda melakukan perkara seperti itu (Kongres Organisasi Cina) dan anda akan mendapat reaksi.

"Kita (berada di negara) berbilang kaum, adalah penting bagi kita untuk mengambil berat tentang perasaan orang lain," katanya.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa semua pihak supaya membatalkan penganjuran “sidang” berkaitan Jawi, sama ada menolak atau menyokong, tidak diteruskan.

Presiden PKR berkata beliau bimbang ia akan “menghangatkan suhu politik dan kaum”.

“Justeru itu, saya menggesa semua pihak termasuk Dong Zong untuk kembali ke ruang dialog.

“Penganjuran sidang anti-Jawi akan mengundang reaksi sidang pro-Jawi,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof pada hari ini turut menggesa penganjuran Kongres Organisasi Cina anjuran Dong Jiao Zong, antara lain untuk membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, agar ditangguhkan.

Mujahid berkata, ia bagi memberi ruang kepada pendekatan "lebih berhikmah" seperti rundingan dan dialog berkenaan isu berkenaan.

“Eloklah dibawa bincang dan kembali ke meja rundingan. Saya menggesa pihak yang mahu meneruskan kongres ini agar menangguhkan dahulu bagi memberi ruang berdialog untuk mencari titik persetujuan bersama.

“Semua kita perlu mengambil tanggungjawab untuk mencapai kata persetujuan demi kepentingan negara,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS