Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada akhir Kongres Kebangsaan Jawi, kira-kira 500 peserta dan penganjur yang diketuai oleh Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) meluluskan tujuh resolusi yang bakal diserahkan kepada Kementerian Pendidikan esok.

Antara perkara dibangkitkan dalam resolusi yang dibacakan oleh Setiausaha Sekat Arun Doraisamy itu adalah bantahan pelaksanaan pengajara tulisan jawi secara paksaan tanpa rundingan dan gesaan agar pelaksanaan tulisan itu dijadikan sebagai pilihan dan bukannya dimasukkan ke dalam Sukatan Pelajaran Tahun 4 Bahasa Malaysia.

Selain itu, resolusi itu juga menyeru kerajaan mengangkat semangat Akta Bahasa Kebangsaan dengan menegakkan hak sekolah vernakular untuk pembelajaran bahasa ibunda masing-masing.

"Dengan itu Kongres Kebangsaan Jawi sebulat suara meluluskan semua resolusi bagi melihat tindakan selanjutnya daripada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan.

"Resolusi ini akan dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan semasa mesyuarat pada jam 11.30 pagi esok di Putrajaya," katanya yang disambut sorakan hadirin.

Arun yang merupakan panelis pertama memberi ucapan, mendakwa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sehingga kini gagal memahami punca mengapa isu pengenalan tulisan Jawi terus didebatkan.

"Mengapa ia terjadi? Kita mempunyai percanggahan pendapat? Masalahnya bukan tiga halaman atau enam halaman [...] Ini agenda dia.

“Kita hendak tahu apa agenda dia?” kata Arun yang juga menambah bahawa percubaan mereka untuk mendapatkan penjelasan berkenaan perkara itu daripada kementerian juga gagal.

Pada masa yang sama, Arun menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk membincangkan isu-isu berkaitan pengajaran Bahasa Malaysia, sejajar dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

"Jangan asingkan hak saya (dalam berbincang) mengenai Bahasa (Malaysia), iaitu bahasa semua rakyat Malaysia.

"Jika jawi adalah warisan bahasa Melayu, maka itu juga adalah warisan semua rakyat Malaysia. Saya tidak menafikannya," katanya.

Selain itu, panelis seterusnya iaitu pakar akademik, Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi menjelaskan bahawa wakil rakyat serta kakitangan awam wajar berdiskusi bersama NGO yang terlibat dalam pengenalan tulisan Jawi.

“Kita kalau ada rumah, mesti ada pemilik, ada duit sikit kita ambil orang gaji dan kalau kaya kita ambil penjaga rumah.

“Rumah itu macam negara, pemilik adalah rakyat, orang gaji adalah kakitangan awam dan penjaga rumah adalah wakil rakyat.

“Mana boleh mereka nak ubah suai rumah saja-saja tanpa tanya pemilik,” katanya yang disambut gelak ketawa dan tepukan gemuruh hadirin.

Mohd Tajudin juga membandingkan kongres yang diadakan ini dengan Kongres Maruah Melayu yang telah dianjurkan pada 6 Oktober lalu.

“Terdahulu ada Kongres Maruah Melayu, mereka minta peruntukkan macam-macam, jawatan itu ini.

“Kongres ini cuma minta satu benda saja, bincanglah dan bermesyuarat bagi cari jalan penyelesaian,” katanya lagi.

Setiausaha Persatuan Warisan Terabai Kenyalang Sarawak Bobby Williams pada ucapannya pula berkata pengenalan tulisan jawi yang dilakukan Kementerian Pendidikan terlalu tergesa-gesa.

Katanya, ia menyebabkan kesangsian kepada bukan Islam, khususnya kaum Dayak.

“Pengenalan jawi terlalu tergesa-gesa dan ini timbul sangsi kami bukan Islam majoriti orang Dayak.

“[...] kita di Borneo (Sabah dan Sarawak) tidak diberi penjelasan jelas makanya akan timbul kekeliruan sama ada unsur agama terlibat dalam perlaksanaan jawi tersebut,” katanya.

Wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT R Thayalan yang menjadi panelis akhir pula berkata masa yang diperuntukkan buat pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina sangat singkat berbanding sekolah kebangsaan biasa.

“Di SJKT dan SJKC masa untuk matapelajaran Bahasa Malaysia singkat dari sekolah kebangsaan biasa.

“Kita juga tahu pelajar jenis sekolah kebangsaan perlukan masa lebih banyak untuk mempelajari subjek (Bahasa Malaysia) itu kerana mereka (pelajar) boleh dikira lemah dalam mata pelajaran itu,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi mengelakkan masa terbuang di sekolah, dia berharap pihak kementerian beri tumpuan kepada subjek Bahasa Malaysia terlebih dahulu berbanding tulisan jawi.

Lihat Komen
ADS