Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Susulan respons wakil rakyat dan menteri terhadap bantahan peniaga pasar larut malam (uptown) Danau Kota kelmarin, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah tampil membuat kenyataan balas.

Ridzuan menyanggah kenyataan dikeluarkan anggota parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berhubung isu berkenaan.

Kedua-dua pemimpin itu berkata mereka yang membantah tapak baru uptown berkenaan datang dari “sindiket dan kroni” yang tidak berpuas hati kerana mengalami kerugian apabila tidak lagi dapat mengutip sewa bulanan gerai.

Sebaliknya Ridzuan berkata, mereka yang melakukan protes kelmarin merupakan peniaga sebenar yang tidak mendapat gerai di tapak sementara Bazaria Wangsa Maju.

Beliau berkata mereka bukan pihak penganjur uptown yang sebelum ini mengadakan protes dan kini telah pun “menghilangkan diri”.

Malah, tambahnya, kebanyakan peniaga itu mempunyai lesen sah, tetapi tidak mendapat tempat di tapak baru sehingga mereka kehilangan sumber pendapatan.

“Ikhlas mohon rayuan supaya berilah peluang kepada peniaga, sementara kita hendak selesaikan masalah, sementara kita sedang mengutip nama mereka untuk diserahkan kepada pihak menteri, berilah peluang buat sementara ini mereka berniaga di tempat yang lama itu.

Antara peniaga yang mengadakan protes kelmarin berhubung pemindahan tapak Uptown Danau Kota

“Kali ini, penganjur-penganjur ke, kroni Umno ke, semua dah tak ada. Semua dah kena halau dah. Peniaga-peniaga jadi anak yatim piatu hari ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin, Ridzuan mengetuai protes oleh kira-kira 70 peniaga yang tidak berpuas hati apabila mereka tidak mendapat tempat di Bazaria Wangsa Maju, sedangkan mendakwa ada peniaga luar diberikan tapak.

Dakwaan itu dinafikan Tan yang menjelaskan, semua 500 peniaga yang diberikan gerai adalah berdasarkan bancian oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  dan merupakan peniaga asal.

Mengulas lanjut, kata Ridzuan, masalah tidak cukup tempat di tapak sementara itu timbul apabila peniaga yang sebelum ini tidak mempunyai lesen diberikan gerai.

'Ada peniaga luar dapat hingga 6 tapak'

Malah dakwanya, ada peniaga yang mendapat sehingga 6 tapak gerai seorang, manakala peniaga yang mempunyai lesen tidak diberikan tapak.

Beliau berkata setakat semalam, Ikhlas telah mengumpulkan sebanyak 204 nama peniaga yang kebanyakannya mempunyai lesen tetapi tidak mendapat tapak gerai di Bazaria,

Beliau berkata nama berkenaan akan diserahkan kepada pegawai Khalid  dalam pertemuan yang diatur minggu depan.

Tan sebelum ini menafikan salah guna kuasa dan mengancam untuk menyaman Ikhlas

Ridzuan juga menyatakan akan meneruskan hasratnya untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah guna kuasa Tan dalam pembinaan tapak sementara itu.

Ini katanya termasuk bancian peniaga yang didakwanya, dilakukan oleh “syarikat swasta yang dilantik” oleh DBKL.

Katanya, beliau mahu siasatan dilakukan ke atas jumlah bayaran oleh DBKL kepada syarikat tersebut dan siasatan ke atas kontraktor yang dilantik untuk pembinaan Bazaria Wangsa Maju.

Beliau juga mendakwa kontraktor berkenaan ada 'sangkut paut' dengan Tan serta mendapat peruntukan dari DBKL dan Kementerian Kewangan.

“Ada unsur rasuah. Isu ini kita akan bawa kepada SPRM, dan juga kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Tan sebelum ini menafikan sebarang salah guna kuasa dalam pengurusan pemindahan Uptown Danau Kota dan memberitahu akan mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Ridzuan.

Untuk rekod, Tan kelmarin memberitahu, peniaga didapati tidak membuka gerai di tapak Uptown lama walaupun beberapa kali pembanci datang membuat bancian dan ini merupakan antara sebab tapak gerai baru tidak diberikan  kepada mereka.

Bazaria Wangsa Maju merupakan tapak sementara yang dibina berdekatan tapak lama Uptown Danau Kota, sementara menunggu tapak kekal berdekatan bangunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju siap dibina, yang mengambil masa dua tahun atau lebih. 

Lihat Komen
ADS