Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pihak bantah tapak baru Uptown Danau Kota kerana 'rugi'- Menteri

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mendakwa segelintir pihak membantah pemindahan pasar larut malam (uptown) Danau Kota ke tapak baru kerana mereka mengalami “kerugian” dalam kutipan tapak gerai.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap himpunan bantahan semalam oleh segelintir peniaga yang tidak berpuas hati dengan pemindahan gerai ke tapak sementara di Bazaria Wangsa Maju, yang berdekatan dengan tapak lama.

“Bantahan kerana ada pihak kerugian. Dulu pihak ini kutip RM1,000 sebulan untuk setiap satu tapak perniagaan. Ada 500 tapak. Bererti pendapatan RM500,000 sebulan.

“Sekarang sewa dibayar kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Kadar sewa pun lebih rendah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tengah hari semalam, kira-kira 70 orang berkumpul menyatakan bantahan mereka, dengan mendakwa Anggota Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew menyalahgunakan kuasa dengan membawa 30 peniaga Cina yang bukan peniaga asal ke tapak baru, sedangkan masih ada 300 peniaga asal yang keciciran nama daripada 800 peniaga asal.

Himpunan itu diketuai oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah.

Tan bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dan berkata semua peniaga yang mendapat tapak gerai merupakan peniaga asal berdasarkan bancian yang dibuat oleh DBKL empat bulan lalu.

Daripada jumlah itu, hanya 20 peniaga Cina dan lima peniaga India diberikan tapak, dan mereka juga merupakan peniaga asal di tapak lama.

Kata Tan lagi, bancian sama mendapati 60 peratus peniaga di tapak lama tidak mempunyai lesen, dan menyewa tapak gerai daripada sindiket dan kroni dengan bayaran sehingga RM1,500 sebulan sedangkan kini kesemua 500 peniaga diberikan lesen dengan bayaran serendah RM212.70 sebulan kepada DBKL.

Bayaran itu merangkumi pelbagai kemudahan asas seperti tandas, surau, parkir, bekalan elektrik, penyelengaran, stor dan sebagainya.

Hadirin  yang berhimpun semalam turut mendakwa Tan menekan DBKL dan polis untuk menghalang peniaga keciciran nama terus berniaga di tapak lama, sedangkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan mengizinkannya dalam satu pertemuan tiga minggu lalu.

Mengulas mengenai hal itu, Khalid memberitahu Malaysiakini, kebenaran yang diberikan oleh Datuk Bandar sebenarnya hanyalah sehingga 31 Disember sahaja.

Mengulas mengenai peserta himpunan semalam yang menyuarakan hasrat untuk mengadakan himpunan susulan, Khalid berkata pihaknya tidak menolak mengambil tindakan sewajarnya seperti melaporkan kepada pihak polis, bagi menjaga kepentingan peniaga di Bazaria Wangsa Maju.

“Ya semestinya kita akan bertindak kerana (kita) kena jaga kepentingan peniaga,” ulasnya lagi.  

Lihat Komen
ADS