Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa sebenarnya isu hiasan raya Cina di sekolah di Puchong?
Diterbitkan:  Jan 8, 2020 3:55 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Timbul satu lagi isu yang berisiko melaga-lagakan rakyat Malaysia, iaitu perhiasan sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Puchong, Selangor.

Kalangan yang mengikuti perkembangan sosiopolitik di Malaysia pasti maklum akan kenyataan daripada beberapa menteri berhubung isu itu pagi ini.

Tetapi apakah sebenarnya yang berlaku dan kenapa ia menjadi masalah?

Berikut adalah apa yang diketahui setakat ini

Apa isunya secara ringkas?

SMK Pusat Bandar Puchong 1 dituduh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dengan memasang perhiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina tak lama lagi di kawasan sekolah.

Siapa yang kata ia melanggar perlembagaan?

Aduan itu dibangkitkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang juga naib presiden parti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), sebuah parti yang diterajui Ibrahim Ali.

Di media sosial, dia mendakwa menerima aduan daripada ibu bapa, yang merasakan perhiasan itu satu percubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain terhadap murid Islam.

Katanya, hiasan itu melanggar Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan (berkenaan Islam sebagai agama persekutuan).

Bagaimana rupa perhiasan tersebut?

Antaranya hiasan bunga dan tanglung di pintu, bersama tulisan "Selamat Tahun Baru Cina" dan karakter tulisan Cina yang bermaksud "musim bunga".

Apa tindakan Mohd Khairul dalam isu itu?

Peguam itu mendakwa dia telah menulis surat kepada pengetua sekolah, Rohani Mohd Noor, yang kemudian setuju untuk menurunkan perhiasan tersebut.

Dalam satu emel yang dimuat naik Mohd Khairul di media sosial, didakwa daripada Rohani, pengetua itu mendakwa dia tidak dirujuk terlebih dahulu tentang perhiasan tersebut.

Adakah sekolah itu kini berdepan masalah?

Malaysiakini difahamkan bahawa pengetua itu telah mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan berhubung perkara tersebut. Kakitangan sekolah yang lain tidak dibenarkan bercakap kepada pihak media.

Benarkan perhiasan itu melanggar perlembagaan?

Peruntukan yang dirujuk Mohd Khairul adalah tentang penyebaran agama lain kepada penganut Islam. Bagaiamanapun, Tahun Baru Cina bukan perayaan agama, tetapi perayaan kebudayaan.

Di Twitter, Peguam Nizam Bashir membidas tindakan Mohd Khairul yang menggesa pihak sekolah menurunkan perhiasan itu atas alasan ia bertentangan dengan perlembagaan.

Menurutnya, “percubaan untuk mencairkan (dilute) tradisi Tahun Baru Cina melanggar hak individu terhadap kebebasan hidup dan kebebasan individu” yang dilindungi Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Apa kata para pemimpin mengenainya?

Kebanyakan menteri dan timbalan menteri mengecam tindakan untuk menghalang sekolah berkenaan menaikkan perhiasan tersebut, dan mereka membangkitkan Tahun Baru Cina sebagai satu perayaan kebudayaan.

Berikut merupakan maklum balas mereka:

Teo Nie Ching (timbalan menteri pendidikan):

Tidak akan kurang sifat Melayu atau Indianya bila kaum bukan Cina meraikan sambutan Tahun Baru Cina atas semangat muhibah.

Malah pengenalan tiga (3) muka surat tulisan jawi tidak akan menjadikan murid-murid bukan Islam untuk menukar agama.

Tulisan jawi adalah khazanah bahasa kebangsaan manakala sambutan Tahun Baru Cina adalah satu perayaan budaya. Kedua-duanya berbeza namun berkongsi satu jalan cerita; warna bangsa yang berbilang.

Malaysia ini tanahair kita. Marilah kita saling menghormati dan tidak menjadikan perbezaan sebagai punca untuk bersengketa.

Saifuddin Abdullah (menteri luar):

Antara kekuatan Malaysia ialah rakyatnya yang pelbagai kaum, budaya & agama, yang hidup aman dan harmoni. Ini perlu diperkukuh atas landasan hidup bersama dalam budaya damai.

Sambutan Tahun Baru Cina bukan bab agama. Ia telah lama disambut seluruh rakyat. Tradisi ini perlu diteruskan.

Syed Saddiq Abdul Rahman (menteri belia dan sukan):

Sekolah kebangsaan milik semua bangsa dan agama. Perayaan Tahun Baru Cina diraikan bersama kerana Malaysia negara milik semua. Bila tiba perayaan tahun baru cina, pandai pula tuntut cuti.

Ramkarpal Singh (Anggota Parlimen Bukit Gelugor):

Ancaman oleh Putra ini memang sesuatu yang tidak wajar, dan tak pernah berlaku sebelum ini.

Mengikut logik Putra yang bercelaru, semua perhiasan Tahun Baru Cina di seluruh negara sepatutnya diturunkan kerana kononnya melanggar perlembagaan.

Ini tak boleh difahami dan betul-betul tak logik.

Steven Sim (timbalan menteri belia dan sukan):

Tradisi Cina terutama dalam Konfucianisme dan agama Buddha mengajar tentang 中庸 atau dalam terjemahan ringkas Bahasa Melayu, kesederhanaan (jalan pertengahan).

Budaya Melayu juga mengajak kepada kesederhanaan.

Dalam masyarakat majmuk kita, kesederhanaan amat penting untuk membolehkan Rakyat pelbagai kaum dan agama hidup bersama secara harmoni.

Hari ini, puak pelampau kaum menyebarkan ketakutan dan pemikiran tidak waras di kalangan Rakyat Malaysia.

Cukup-cukuplah. Dah sampai masanya kerajaan mengambil pendirian lebih tegas ke atas pelampau dari semua kaum.

Kenapa kontroversi ini penting?

Ia timbul di tengah-tengah kontroversi pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Malaysia, termasuk di sekolah vernakular, yang telah menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara kaum.

Jadi bagaimana sekarang?

Jika tidak dikendalikan dengan baik, isu ini mampu menegangkan lagi hubungan antara kaum Melayu dan Cina secara umumnya.

Seorang anggota Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur berkata dia akan membuat laporan polis berhubung isu itu di Serdang, manakala Adun Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu turut menyuarakan hasrat untuk melakukan hal sama di Sepang pada jam 4.30 petang ini. 

Lihat Komen
ADS