mk-logo
Berita
Abu Kassim cuba serah siasatan 1MDB ke AS pada 2015 - CEO Fairfax
Diterbitkan:  Jan 10, 2020 11:03 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Dalam wawancara yang disiarkan di Al-Jazeera, Ketua Pegawai Eksekutif Fairfax Group, Michael Hershman membuat pendedahan menggemparkan bahawa pada 2015, ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Abu Kassim Mohamed meminta beliau untuk mengadakan pertemuan dengan Pejabat Peguam Negara AS di New York supaya beliau dapat menyampaikan kepada mereka kertas siasatan 1MDB.

Menurut Hershman, yang mengetuai syarikat kewangan pengurusan risiko korporat, Abu Kassim diletakkan di bawah pengawasan dan ditekan supaya meletak jawatan.

"Pada tahun 2015, ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim sedang menyiasat perdana menteri kerana pengubahan wang haram dan salah laku. 

"Pada masa itu, Abu Kassim memberitahu peguam negara (Abdul Gani Patail) bahawa perdana menteri (Najib Razak) merupakan sasaran penyiasatan mereka.

"Apabila AG berhadapan dengan PM, beliau dipaksa berhenti daripada jawatannya dan digantikan oleh kawan Najib," kata Hershman.

Hershman (gambar, atas) berkata Abu Kassim sudah dikenalinya selama bertahun-tahun dan pernah berkhidmat bersama dalam sebuah suruhanjaya anti-rasuah Interpol.

"Pada masa yang sama Abu Kassim diletakkan di bawah pengawasan dan ditekan untuk meletak jawatan.

"Pada ketika itulah, Abu, yang saya kenal selama bertahun-tahun - beliau dan saya pernah berkhidmat bersama di sebuah suruhanjaya anti-rasuah Interpol - beliau bertanya jika saya boleh menyerahkan dokumen ke pejabat peguam AS di New York dan mengatur pertemuan sulit dengan pihak mereka supaya beliau dapat memastikan bahawa entiti di luar Malaysia akan meneruskan siasatan tersebut."

"Saya ada menyediakan maklumat itu, saya juga telah mengatur mesyuarat tersebut. Malangnya sebagai akibat, beliau dituduh khianat (SIC)," kata Hershman kepada Al-Jazeera yang melaporkan mengenai rakaman sensasi baru-baru ini yang didedahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM semasa Latheefa Koya.

Untuk rekod, tiada pertuduhan yang dikenakan terhadap Abu Kassim.

Dzulkifli Ahmad menggantikan Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016.

Dzukifli ialah salah seorang individu yang suaranya didengar dalam rakaman audio yang dikeluarkan oleh SPRM mengenai beberapa perbualan telefon yang melibatkan Najib berhubung skandal 1MDB.

Lain-lain termasuk perbualan antara Najib dengan putera mahkota dan individu lain berjawatan tinggi dari Emiriah Arab Bersatu, mengenai tuntutan saman dan berhubung saman sivil pelucuthakkan 1MDB oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS dan dana yang disalurkan kepada anak tiri bekas perdana menteri, Riza Aziz.

Terdapat juga rakaman perbualan antara Najib dan isterinya Rosmah Mansor yang kedengaran 'berang'.

Mengulas rakaman itu sendiri, Hershman menyifatkannya sebagai luar biasa.

"Ia luar biasa... Perbicaraan kes sedang berlangsung di Malaysia, banyak dokumen telah muncul menjadi keterangan, saksi dipanggil dan kenyataan dibuat.

"Tetapi tiada yang sangka untuk membongkar perbualan seperti ini di antara pegawai tertinggi kerajaan dalam dua bidang kuasa."

"Kami tidak tahu siapa yang membuat rakaman ini sama ada ia daripada pasukan perisikan atau sumber daripada UAE, tetapi tidak kira apa pun pengakuannya, perlindungan sebegini adalah model yang tidak boleh dilakukan," kata Hershman.

Beliau menamakan skandal 1MDB sebagai salah satu rompakan terbesar dalam sejarah rasuah kerajaan, berkata ini walaupun Najib masih belum didapati bersalah oleh mahkamah.

Bagaimanapun, kata Hersman, beliau melihat bukti-bukti yang amat berat.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS