Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Shafie patut salahkan diri sendiri bukan Tun Razak, Ghafar

PRK KIMANIS | Bekas Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal tidak sepatutnya mengaitkan Allahyarham Abdul Razak Hussein dan Ghafar Baba bagi menutup kegagalannya membangunkan negeri itu sebelum ini.

Sebaliknya kata bekas presiden Umno itu, Shafie harus meletakkan kesalahan itu pada diri sendiri kerana peruntukan yang besar telah diberikan sewaktu beliau memegang jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

"Dia tak boleh salahkan orang lain, waktu dia jadi menteri luar bandar diluluskan satu peruntukan yang besar, saya dimaklumkan lebih kurang RM35 bilion telah diletakkan sepanjang tempoh jadi menteri luar bandar.

"Apa alasan dia bila projek lebuhraya Pan Borneo terbengkalai hari ini, itu diluluskan kerajaan perekutuan untuk rakyat Sabah, sepatutnya Pan Borneo sudah siap hari ini kalau BN berkuasa.

"Projek-projek seperti naik taraf sekolah daif RM1bilion yang saya dah luluskan untuk Sabah, apa kedudukan projek ini," katanya ketika ditemui ketika berkempen di Kimanis, malam tadi.

Kedua-dua contoh yang dipetik Najib adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. 

Projek Lebuhraya Pan Borneo terhenti seketika apabila pentadbiran Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan.

Dakwaan Najib bahawa projek itu sepatutnya disiapkan sekarang tidak tepat kerana apabila ia dilancarkan pada tahun 2015 di Sarawak dan Sabah pada tahun 2016,  projek itu disasarkan siap pada tahun 2023.

Bagi projek menaik taraf sekolah, pula ia adalah di bawah bidang kuasa kementerian pendidikan dan bukan kementerian pembangunan luar bandar.

Shafie merupakan menteri pembangunan luar bandar dari 2009 sehingga dipecat oleh Najib pada tahun 2015 berikutan skandal 1MDB. 

Shafie kemudian menubuhkan Warisan dan mengalahkan BN di Sabah pada pilihan raya umum 2018.

Pada masa ini, Warisan dan BN saling tuduh menuduh antara satu sama lain terhadap dakwaan Sabah ketinggalan dari segi pembangunan. 

Mengikut Jabatan Statistik, Sabah adalah negeri termiskin keempat pada 2018 dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, di belakang Perlis, Kedah dan Kelantan.

Baca: BN manipulasi isu PSS, lebuhraya Pan Borneo- Naib presiden Warisan


Sebelum ini ketika berkempen di Kimanis, Shafie mendakwa jika beliau dikatakan gagal membangunkan Sabah, dua bekas menteri luar Razak dan Ghafar juga turut gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu Najib berkata, BN melalui kepimpinannya adalah pihak yang pertama berusaha mengembalikan hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beberapa langkah drastik telah diambil kepimpinanya ketika itu sebagai usaha ke arah mengembalikan hak Sabah.

"Kita buat cara administratif, cara pertamanya guru-guru, lebih 90 peratus guru di Sabah adalah anak Sabah. Apa yang boleh dibuat buat secara pentadbiran kita buat cara pentadbiran, dari segi perundangan ambil masa sikit," katanya.

Berhubung dakwaan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin bahawa Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan cadangan BN, Najib berkata parti itu tidak pernah meluluskannya.

"Tidak, sebab walaupun ada cadangan berbangkit setelah dibuat suruhanjaya siasatan diraja (RC), tetapi cadangan itu tidak dilaksanakan, tidak diterima BN.

"Di mana kita tiada ada niat nak laksana PSS, tapi Warisan dan PH menyatakan ini hasrat mereka," katanya.

PSS merupakan dokumen baru yang dikeluarkan kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen yang sah di Sabah, yang dikatakan tertinggi di negara ini.

Ia diperkenalkan oleh kerajaan pada September tahun lepas. 

Kerajaan menegaskan dokumen itu  bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan atau taraf pemastautin tetap kepada warga asing.

Bagaimanapun, jentera BN memberikan gambaran PSS sebagai cubaan oleh Warisan membawa masuk warga asing ke negara ini.

Lihat Komen
ADS