Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP akui gagal tangkap Jho Low, tapi tak akan putus asa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengakui kegagalannya untuk menangkap Jho Low, tetapi pada masa sama membangkitkan percubaan pihak tertentu untuk menghalang ahli perniagaan kontroversi itu daripada dibawa pulang.

Dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, Hamid berkata beliau tidak akan berputus asa dalam memburu individu yang didakwa dalang dalam skandal 1MDB itu.

"Saya akui saya gagal, bukan gagal sebab saya nak tunjuk saya superhero, tetapi saya janji dulu nak berusaha (menangkap Jho Low).

"Malangnya saya berdepan rintangan yang didirikan oleh pihak tertentu agar dia tidak dapat dibawa kembali ke sini untuk didakwa di mahkamah.

"Saya tak putus asa (dan) akan terus berusaha sebab seperti yang saya sebut pada 2015, ini satu rompakan yang merugikan negara. Masih ada berbilion dolar AS dalam kawalannya.

"Jangkauan undang-undang ini panjang. Dia rasa boleh menyorok dan kononnya ditawarkan kewarganegaraan. Saya nak sebut pada dia: silakan," katanya.

Abdul Hamid Bador

Hamid tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkannya menghalang penangkapan Jho Low, namun pada bulan lalu beliau menyuarakan kekecewaannya terhadap pihak berkuasa beberapa negara yang tidak memberi kerjasama kepada Malaysia berkenaan soal itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata polis telah menemui beberapa aset baru bernilai jutaan ringgit milik Jho Low dan dalam proses untuk menyitanya.

"Ia premis kediaman di dalam negara. Saya tak daoat nak dedahkan, tetapi (nilainya) berjuta. Ini wang kita, kita mahu setiap sen daripadanya," katanya lagi.

Hamid juga membangkitkan usaha Low untuk menunjukkan dia tidak bersalah menerusi beberapa kenyataan mutakhir ini.

"Daripada kenyataannya, dia nak cuci tangan seolah-olah tak terlibat. Kalau betul, balik (ke Malaysia). Saya secara peribadi beri jaminan keselamatan kepadanya...Jangan nak perlekeh sistem kehakiman kita (dan tuduh) polis kejam nak seksa dia," katanya.

Antaranya wawancara Jho Low dengan media Singapura Straits Times baru-baru ini, di mana dia menafikan menjadi dalang dalam skandal 1MDB, dan berkata hanya menjadi orang tengah untuk urus niaga syarikat itu.

Dia juga menyifatkan dirinya sebagai "sasaran mudah", selain ditawarkan suaka oleh sebuah negara eropah tahun lalu, atas dasar "penganiayaan politik".

Pada September lalu, Hamid berikrar untuk membawa Jho Low pulang sebelum 2019 berakhir.

Pihak berkuasa antarabangsa, termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), menyatakan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB.

Bekas perdana menteri Najib Razak kini sedang dibicarakan atas pertuduhan berkenaan skandal itu, tetapi Low yang merupakan saksi utama pendakwaan masih bebas.

Lihat Komen
ADS