Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Proses peralihan kuasa perlu diselesai secara baik, kata Anwar

PRK KIMANIS | Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata peralihan kuasa perlu dibincangkan secara baik dalam Pakatan Harapan atau antara dirinya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata beliau tidak setuju jika proses itu dibuat secara tidak aman dan tidak teratur.

"Seperti yang saya kata (sebelum ini), ia harus diaturkan dengan baik, Mahathir banyak pengalaman dan jasa," katanya menjawab soalan pemberita berkenaan perkara itu, ketika berkempen untuk calon Warisan Karim Bujang di Kampung Pimping, Kimanis hari ini.

Ditanya berkenaan waktu yang terbaik untuknya menjadi perdana menteri agar PH dapat membuat persediaan menghadapi PRU ke-15, beliau sekali lagi berkata ia perlu diselesaikan dengan baik.

"Diselesaikan secara baik antara saya dan perdana menteri, dan (di dalam) PH," katanya.

Beberapa anggota parlimen PKR mencadangkan peralihan kuasa dilakukan pada Mei ini, antaranya Wong Chen (Subang) yang berkata kesamaran tarikh peralihan kuasa menyebabkan pelabur menangguhkan pelaburan kerana tidak pasti dengan masa depan politik jangka pendek negara.

Ahli parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata PH tidak menetapkan tarikh untuk peralihan sebelum PRU ke-14 ekoran ketidakpastian tentang masa yang diperlukan untuk Anwar menerima pengampunan diraja sekiranya PH menang dan menjamin pembebasannya dari penjara.

Bagaimanapun Anwar enggan meletakkan garis masa untuk Mahathir berbuat demikian.

Terdahulu Mahathir berkata beliau akan menunaikan janjinya untuk memberi laluan kepada Anwar tetapi tidak akan berbuat demikian sebelum Sidang Kemuncak Apec, yang mana Malaysia dijadual menjadi tuan rumah pada November ini.

Lihat Komen
ADS