Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PIBG: Sarapan pagi percuma kepada pelajar miskin dialu-alukan

Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyambut baik kenyataan pemangku menteri pendidikan Dr Mahathir Mohamad yang menjelaskan bahawa bantuan Program Sarapan Pagi (PSP) akan diteruskan tetapi hanya dikhususkan kepada pelajar kurang berkemampuan.

Presiden PIBGN, Mohamad Ali Hassan berkata bantuan dalam bidang pendidikan tidak semestinya diberikan kepada semua pelajar dan keutamaan perlu diberi kepada golongan yang lebih memerlukan.

 tidak semestinya semua pelajar mendapat bantuan secara sama rata dan 

“Apa-apa program yang hendak dilaksanakan atau nak diteruskan tak salah dikaji semula. Program sarapan pagi, bantuan persekolahan dan baucar buku misalnya tak semestinya diberikan kepada semua.

“Memang patut sangat segala pemberian atau sumbangan dihadkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini melalui mesej pesanan aplikasi Whatsapp.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri berkata bahawa adalah tidak adil jika bantuan sarapan percuma itu terus diberikan kepada anak golongan kaya kerana mereka mempunyai makanan yang mencukupi di rumah.

“Kita akan teruskan program yang ada sekarang kepada mereka yang tidak mampu, tetapi nak bagi kepada semua bermakna mereka yang ada duit, kaya dan makan di rumah banyak pun dapat juga, itu tidak adil.

“Kita akan teruskan yang ada sekarang dan kita akan tambah mereka yang berhak untuk dapat sarapan pagi,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ali juga menambah bahawa pihak kementerian perlu lebih bijak dalam menguruskan dana yang diperuntukkan bagi pendidikan.

Katanya, ibu-bapa yang berkemampuan sewajarnya lebih memahami keputusan ini agar pihak kementerian dapat mengutamakan bantuan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Pada tahun lalu, menteri pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan layak menikmati sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Katanya, fasa pertama akan mula dilaksanakan pada 20 Jan 2020 di 100 sekolah rendah di seluruh negara yang membabitkan seramai 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.

Lihat Komen
ADS