Malaysiakini
BERITA

Bekas timbalan pengarah SKMM Sabah didakwa pecah amanah

Bernama

Diterbitkan

Bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM17,930 pada 2015.

Tertuduh, seorang wanita berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM17,930 membabitkan bayaran Memorandum Permohonan Peruntukan Bagi Memudah dan Menganjur Program Klik Dengan Bijak dengan enam buah sekolah di Sabah, antara 15 Januari 2015 hingga 27 Feb 2015.

Kesemua pertuduhan berkenaan dilakukan di Tingkat 10, Menara MAA, SKMM di mana tertuduh didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai Timbalan Pengarah SKMM.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun dan sebatan, dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan alternatif melakukan pecah amanah di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM Michael Joimin.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fareez Mohammad Salleh dalam rayuannya memohon jumlah jaminan sebanyak RM4,000 memandangkan tertuduh telah kehilangan kerja sejak 2017 dan mempunyai tiga anak yang masih kecil, selain menjadi tulang belakang ibu bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melapor diri kepada SPRM sekali dalam dua bulan dan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah.

Mahkamah menetapkan 28 Feb ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan