Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pena bantah keras Dr M mahu kembalikan PPSMI
Diterbitkan:  Jan 31, 2020 9:56 PM
Dikemaskini: Feb 1, 2020 12:17 AM

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) membantah sekeras-kerasnya hasrat pemangku menteri pendidikan Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

"Keputusan melaksanakannya semula sangat bertentangan dengan aspirasi Pendidikan nasional dan akan merosakkan tahap pendidikan anak bangsa, terutamanya pelajar luar bandar.

"Telah terbukti sebelum ini pencapaian dalam peperiksaan merudum dan banyak pembaziran berlaku apabila perbelanjaan untuk melaksanakan PPSMI tidak mendatangkan kebaikan.

"PPSMI telah pun berlalu pada 2002-2010, dan telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada tahap pencapaian para pelajar," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Pena juga mendesak perdana menteri supaya membatalkan hasrat untuk memulakan semula PPSMI "atau akan berhadapan semula penentangan rakyat."

"Kajian yang dibuat oleh UPSI pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 peratus di sekolah kebangsaan dan di sekolah menengah sehingga program ini dibatalkan pada 2010.

"Pena mendesak Dr Mahathir membatalkan hasrat tersebut atau akan berhadapan semula penentangan rakyat bagi menolak PPSMI sebelum ini," katanya lagi.

Menurut Saleeh, persatuan penulis itu akan menentang PPSMI, berkata "sepatutnya Dr Mahathir menumpukan usaha pemulihan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, bukannya menambahkan kemarahan rakyat."

"Pena akan bersama-sama rakyat untuk menentang program PPSMI kerana kami percaya langkah pelaksanaan PPSMI akan merosakkan sistem pendidikan kebangsaan dan menghancurkan masa depan anak bangsa.

"Negara mungkin akan menghadapi gelombang huru-hara yang lebih hebat jika PPSMI dilaksanakan juga," tegas presiden Pena.

Dr Mahathir ketika bercakap pada mesyuarat khas di kementeriannya semalam, berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah elemen penting dalam pendidikan.

Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 semasa kali pertamanya sebagai perdana menteri.

Namun, dasar itu tidak popular, termasuk di kalangan parti pembangkang ketika itu seperti PKR.

Ia kemudiannya dibatalkan pada 2011. Menurut menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin, program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar kandas dalam sains dan matematik.

Namun, ini dipertikaikan oleh beberapa pihak, yang mendakwa keputusan berkenaan telah bertambah baik di bawah PPSMI.

Pada tahun 2016, kerajaan memperkenalkan pula Program Dwi-Bahasa, di mana sekolah-sekolah tertentu mempunyai pilihan sama ada untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

Lihat Komen
ADS