Pilatus TUDM mendarat cemas, dua juruterbang selamat
Sebuah pesawat latihan Pilatus PC-7 jenis MKII milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pendaratan cemas di kawasan sawah di Kampung Ujung Padang, Alor Star pagi ini, ketika dalam misi latihan penerbangan biasa.
Sebuah pesawat latihan Pilatus PC-7 jenis MKII milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pendaratan cemas di kawasan sawah di Kampung Ujung Padang, Alor Star pagi ini, ketika dalam misi latihan penerbangan biasa.
Pegawai Perhubungan Awam TUDM Kapten Zulkiflee Abdul Latiff berkata kedua-dua juruterbang pesawat itu selamat dalam kejadian yang berlaku pukul 7.40 pagi.
"Mereka tidak mengalami kecederaan teruk dan dihantar mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Kolej Tentera Udara, Kepala Batas," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laporan Bernama, pegawai TUDM itu ialah Lt Kol Mutalib Abdul Wahab, 46, dan Mejar Tan Thian Khim, 34.
Daripada maklumat awal, didapati mereka berlepas menggunakan pesawat buatan Switzerland itu dari Kolej Tentera Udara Alor Star pada pukul 7.26 pagi sebelum mengalami masalah, katanya.
Zulkiflee berkata lokasi kejadian ialah kira-kira 7 kilometer dari bandar Alor Star dan TUDM akan menubuhkan satu lembaga penyiasatan bagi memastikan punca kemalangan.
Pesawat itu adalah sebahagian daripada sembilan buah Pilatus PC-7 MKII yang digunakan sejak 1982. Ini adalah kemalangan pertama bagi pesawat Pilatus PC-7 dari jenis MKII.
Cerita saksi
Sebelum ini sebanyak 12 pesawat Pilatus PC-7 dari jenis MK1 terhempas semasa sesi latihan di Kedah.
Kedua-dua pegawai TUDM itu hanya menerima rawatan kecederaan ringan dan telah dibenarkan keluar dari pusat perubatan itu.
Seorang saksi kejadian, Amran Sulaiman, 36, berkata beliau sedang menunggang motosikal ke sawahnya ketika melihat pesawat itu mendarat.
"Saya melihat pesawat itu seperti hendak jatuh dan enjinnya tidak kedengaran. Selepas ia jatuh saya memerhatikan dulu dari jarak 400 meter di jalan mini tar sawah.
"Selepas kira-kira 10 minit saya lihat dua juruterbang (berpakaian hijau) keluar dari pesawat dan saya menghampiri mereka. Mereka kelihatan dalam keadaan gementar tetapi tidak nampak cedera," katanya.
Amran berkata seorang daripada mereka meminta meminjam telefon bimbitnya dan "menghubungi nombor 04-7144001, memberitahu mereka terhempas".
Amran, pesawah yang tinggal di Kampung Hujung Alor Merah, berkata kira-kira 10 minit selepas juruterbang itu membuat panggilan, beberapa pegawai TUDM tiba di tempat kejadian.
"Kedua-dua juruterbang itu dibawa keluar dari sini dengan helikopter TUDM dan mereka juga mengarahkan saya meninggalkan tempat kejadian," katanya.
Muncung pesawat itu dikatakan terbenam sedikit ke dalam sawah dan tempat ia mendarat terletak kira-kira 2 km dari kawasan perumahan yang berdekatan dan kira-kira 3 km dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, iaitu tempat pesawat itu berlepas.

