mk-logo
Berita
Pelaksanaan semula PPSMI belum muktamad, kata Wan Azizah
Diterbitkan:  Feb 2, 2020 4:39 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad untuk melaksanakan semula pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Menurut Berita Harian hari ini, Wan Azizah berkata perbincangan berkenaannya masih di peringkat awal.

“Perbincangan untuk pelaksanaan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih di peringkat awal. Belum ada keputusan,” katanya seperti dipetik.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata mahu mata pelajaran sains dan matematik kembali diajar dalam bahasa Inggeris.

Rakaman kenyataan itu dimuat naik di laman Youtube rasminya. Bagaimanapun ia tidak menyebut bagaimana dasar itu akan dilaksanakan.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, perkara itu hanya disebut dalam ucapan pembukaan Mahathir dalam mesyuarat kementerian dan tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Dasar PPSMI pertama kali diperkenalkan pada 2003, ketika Mahathir kali pertama sebagai perdana menteri. Ia kemudian digantikan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2009.

Pada 2015, di bawah dasar MBMMBI, kerajaan memperkenalkan program dwibahasa (DLP) di sejumlah sekolah, dengan tujuan menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pendedahan tambahan secara tidak langsung.

Lihat Komen
ADS