Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelaksanaan semula PPSMI tak dibincang dalam mesyuarat, kata Teo
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Rancangan pelaksanaan semula pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak dibincang dalam mesyuarat kementerian pada Khamis lalu, kata Timbalan Menteri PendidikanTeo Nie Ching.

Teo berkata perkara itu hanya disebut dalam kenyataan Perdana Menteri dan pemangku Menteri Pendidikan, Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tersebut.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman video kenyataan Mahathir berkenaan perkara itu, yang dimuat naik di akaun Youtube rasminya semalam.

"Perkara itu bukan dalam agenda mesyuarat semalam (30 Januari), dan kita tidak bincangkan perincian seperti garis masa dan pelaksanaannya," katanya dalam rakaman video yang disiarkan Sin Chew Daily semalam.

"Itu hanya kenyataan pembukaannya (Mahathir) ketika mesyuarat, yang bermakna belum ada keputusan rasmi (tentangnya). Walapun jika beliau berkata demikian, kementerian perlu mengkaji lebih lanjut perkara itu," katanya lagi.

Teo berkata demikian ketika ditemui beberapa pemberita media berbahasa Cina dalam satu program di Kuala Lumpur semalam.

Kata Teo lagi, Mahathir hanya menyuarakan pandangan dan visinya sendiri berkenaan pendidikan, dan perdana menteri melihat kemahiran bahasa Inggeris sebagai perkara penting dalam komunikasi dan pekerjaan.

"Saya fikir kita tidak bincangkan pengenalan semula PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris). Ia boleh juga (melalui) pengukuhan Dual Language Programme (DLP)," katanya, merujuk pelaksanaan DLP di Sarawak sebagai contoh.

Bermula tahun ini, DLP dilaksanakan di sejumlah 1,048 sekolah rendah di Sarawak, yang memberi pilihan kepada murid seawal Darjah Satu untuk mempelajari subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Lihat Komen
ADS