Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagai bangkrap serta 'nyawa-nyawa ikan' dan menggunakan pilihanraya negeri Sarawak sebagai medan menguji kekuatan.

Zainuddin berkata PKR sudah kekeringan idea dan isu dalam menarik sokongan manakala DAP pula merupakan "parti yang hampir mati" tapi mahu menunjukkan ia masih relevan dari segi politik.

"Keadilan pada asasnya sudah kehabisan idea dan DAP "hanya tinggal nyawa-nyawa ikan" dan merupakan parti yang paling kuat mengamalkan perkauman," kata Zainuddin dalam satu majlis di Miri.

Oleh itu beliau meminta penduduk Sarawak menolak DAP dan PKR kerana kedua-dua parti dari Semenanjung itu hanya menggunakan Sarawak sebagai tempat untuk menguji kekuatan.

Beliau berkata satu-satunya sebab kedua-dua parti itu bertanding pada pilihan raya negeri 20 Mei ini ialah untuk menggunakan Sarawak sebagai tempat ujian dan atas alasan itu penduduk negeri ini tidak wajar memberi ruang kepada mereka.

"Jangan terpedaya dan digunakan oleh kedua-dua parti ini... mereka hanya mahu melihat sama ada mendapat sokongan. Mereka bahaya untuk Sarawak. Kekuatan negeri ini ialah kerana hubungan rapatnya dengan kerajaan persekutuan. Jangan jejaskannya," katanya kepada pemberita selepas melawat cawangan parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Menurut laporan Bernama, PKR bertanding di 25 kawasan manakala DAP di 12 kerusi daripada 69 kerusi yang dipertandingan pada pilihan raya kesembilan ini. Barisan Nasional memenangi dua kerusi tanpa bertanding semasa pencalonan untuk 71 kerusi ditutup Selasa lepas.

"Penduduk Sarawak kuat kerana mereka bersatu dan sentiasa memilih BN... berhati-hatilah dengan kedua-dua parti ini (Keadilan dan DAP). Mereka tidak ada apa-apa untuk diberikan, mereka hanya pandai bercakap," katanya.

Zainuddin berkata kenaikan harga minyak yang dijadikan isu oleh kedua-dua parti ini dalam kempen masing-masing, tidak masuk akal berikutan kenaikan mendadak harga minyak di pasaran dunia.

"Malah, kerajaan BN berjanji tidak akan menaikkan harga minyak sepanjang tahun ini... walaupun jika berlaku kenaikan sehingga US$100 setong di pasaran dunia.

"Kita nikmati pembangunan berterusan... kita tidak menghentikannya hanya kerana berlaku kenaikan harga minyak. Jadi saya gesa penduduk Sarawak membuat pilihan yang tepat. Kita perlu rasional ketika memilih kerajaan. Tidak mudah untuk membawa pembangunan. Mesti ada wawasan dan hanya kerajaan BN sahaja yang ada misi itu," kata Zainuddin.