Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas adun Pujut pilih kewarganegaraan Malaysia, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim membangkitkan keputusan bekas adun Pujut Dr Ting Tiong Choon yang memilih untuk mengekalkan kerakyatannya.

"Dia perlu pilih salah satu dan dia pilih Malaysia. Jadi kita perlu menerimanya," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Anwar juga berkata Mahkamah Persekutuan tidak menyentuh tentang status kewarganegaraan Ting dalam keputusan membatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat kerana pernah turut memiliki kerakyatan Australia.

Beliau mengulas gesaan PAS Sarawak dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) agar kewarganegaraan Ting dilucutkan mengikut Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ting Tiong Choon

Perkara itu menyatakan kerajaan "boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu" jika "berpuas hati bahawa warganegara itu memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan."

Pada 12 Mei 2017, DUN Sarawak menggugurkan kelayakan Ting kerana memiliki dua kerakyatan walaupun beliau kemudian melepaskan kerakyatan Australia, sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 2016.

Ting mendapat kewarganegaraan Australia pada 2010.

DUN Sarawak berkata ia melanggar Perkara 17(1)(g) perlembagaan negeri yang menyatakan individu itu hilang kelayakan jika secara sukarela mendapatkan atau mempraktikkan hak kerakyatan negara lain.

Mahkamah Rayuan kemudian memutuskan langkah DUN Sarawak sebagai tidak mematuhi undang-undang. Mahkamah Persekutuan bagaimanapun mengenepikan keputusan itu semalam.

Tiada PRK yang akan dilaksanakan kerana Ting hilang kelayakan selepas tiga tahun pilihan raya negeri berlalu.

'Duluan yang bahaya'

Sementara itu, pembantu pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Michael Kong, yang juga sebahagian daripada pasukan peguam Ting, berkata soal hilang kelayakan timbul ekoran tindakan mendapatkan kerakyatan negara lain, beliau berkata soal itu tidak lagi timbul selepas status itu dilepaskan.

"Selepas itu semua kabaikan dan keburukan berkaitan kerakyatan luar tamat. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan tidak setuju dengan kami dan kami menghormati keputusan itu," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Kong membangkitkan bahawa dalam keputusan mahkamah berpandangan langkah DUN sebagai isu yang tidak boleh diputuskan oleh prinsip undang-undang atau mahkamah keadilan (non-justiciable).

"Dengan kata lain, perilaku speaker tidak boleh dicabar di mahkamah walau ia jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Katanya lagi, ia menetapkan duluan yang bahaya di mana speaker boleh memilih untuk mengabaikan prinsip asas, termasuk pemisahan kuasa dan res judicata (hal yang telah diadili di mahkamah dan maka tidak boleh diteruskan oleh pihak yang sama).

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS