mk-logo
Berita
Henti cubaan tukar status Hutan Simpan Kuala Langat - Xavier

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar menyuarakan bantahan terhadap cadangan untuk membatalkan warta kawasan seluas 930 hektar di kawasan Hutan Simpan (Utara) Kuala Langat.

Xavier memberitahu Malaysiakini, selaku MP Kuala Langat, beliau tegas menentang cadangan untuk mengeluarkan tanah berkenaan daripada warta hutan simpan untuk kawasan yang menjadi penempatan Orang Asli dan habitat hidupan liar.

"Ini menghantar mesej yang salah. Kami mempunyai sasaran melindungi hutan sebanyak 55.3 peratus yang sepatutnya kami kena tambah lagi kawasan hutan, malah tanpa Sabah dan Sarawak (hutan) kami kurang dari 50 peratus, kami memperjuangkan penghutanan semula, bukan pemusnahan hutan," katanya.

"Kita tidak boleh memusnahkan paru-paru hijau atas dasar pembangunan, lebih-lebih lagi untuk kawasan yang telah diwartakan sejak tahun 1927," katanya.

"Kerajaan negeri mesti mengambil kira sentimen Orang Asli yang tinggal di sana," katanya.

Berita mengenai cadangan itu diketahui apabila Jabatan Perhutanan Selangor meletakkan notis cadangan untuk mengeluarkan kawasan itu dari kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di dada akhbar-akhbar utama pada 5 Februari lalu.

Ia mengundang pihak berkepentingan di daerah itu menyuarakan bantahan mereka terhadap cadangan itu dalam tempoh 30 hari.

Ini selaras dengan Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, serta Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985, yang memperuntukkan (peletakan notis) wajib sebelum rizab hutan boleh dibatalkan.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy yang menyelia Jakoa (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli) berkata beliau mengambil maklum perkara itu, tetapi katanya, Jakoa sejak 20 Sept 2017 lagi, telah berikhtiar supaya kawasan itu senantiasa dipelihara.

"Kerana kesulitan teknikal ... kita masih menunggu keputusan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan dengan pengurusan atas Jakoa pada 17 Feb, untuk mencari "penyelesaian terbaik" terhadap isu itu.

Waythamoorthy mengesahkan bahawa kawasan yang terjejas melibatkan kawasan rayau di empat buah kampung Orang Asli - Kampung Orang Asli Bukit Kecil, Bukit Cheeding, Busut Baru dan Pulau Kempas - dengan penduduk seramai 1,049 orang.

Seniman dan juga aktivis masyarakat, Shaq Koyok yang berasal dari Kampung Pulau Kempas memberitahu Malaysiakini bahawa penduduk kampung marah atas kemungkinan kehilangan tanah adat mereka.

Sementara itu, DJ Radio Asyik Hardy Zakaria yang berasal dari Kampung Busut Baru pula mengadu kenyataan bahawa dahulu kampungnya telah pun dipindahkan dari tapak KLIA sekarang dan akan mengalami trauma jika berlaku satu lagi langkah pemindahan lain.

Xavier hari ini berkata beliau akan bercakap dengan Waythamoorthy mengenai isu itu.

"Buat masa ini, biarkan proses yang sewajarnya berjalan. Oleh kerana notis itu menyeru bantahan, saya yakin banyak pihak akan membantah hal ini," katanya.

Kumpulan pemeliharaan alam sekitar Pusat Alam Sekitar Global (GEC) antara salah satu kumpulan yang menggerakkan kempen untuk menghentikan cadangan berkenaan.

Pengarah GEC, Faizal Parish berkata beliau terkejut dan merasa terganggu dengan cadangan itu.

Kawasan itu, katanya cukup penting kepada Orang Asli dan kepelbagaian biologi kerana menjadi habitat kepada hidupan liar yang terancam.

Xavier berkata beliau berharap dengan bantahan ini, kerajaan negeri akan menukar pendirian mereka untuk mengurangkan kawasan tanah Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Beliau menyerlahkan komitmen kerajaan untuk penghutanan semula, dengan peruntukan RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 untuk menanam 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun dalam usaha memelihara dan menanam semula hutan yang telah diterokai.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS