Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan mahu tanam semula 100 juta pokok
Diterbitkan:  Jan 8, 2020 6:39 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Kerajaan bersetuju memulakan program membaik pulih kawasan merosot di seluruh Malaysia dengan menanam semula 100 juta pokok mulai tahun ini hingga 2025 dalam usaha memulihara kepelbagaian biologi dan perkhidmatan ekosistem negara.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar dalam kenyataan berkata program itu akan dilancarkan pada 21 Mac ini dan kementerian mengalu-alukan penyertaan dan sokongan padu daripada sektor perniagaan dan swasta untuk menjayakannya.

Xavier menyampaikan perkara itu dalam ucaptamanya pada Forum Kepelbagaian Biologi Untuk Sektor Perniagaan dan Swasta yang diadakan buat pertama kali, di Kuala Lumpur semalam.

Kenyataan yang diemail hari ini itu menyebut, forum anjuran DHI Water & Management (M) Sdn. Bhd. (DHI) itu sejajar dengan matlamat Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 (DKBK) bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak komuniti perniagaan di negara ini untuk menyokong usaha kerajaan dalam memulihara ​​​​​​​kepelbagaian biologi, menggalakkan penggunaannya secara mampan dan ​​​​​​​memastikan perkongsian faedah yang adil dan saksama.

Forum yang dihadiri 140 peserta termasuk ahli perniagaan, badan korporat, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan itu membincangkan peranan dan tanggungjawab yang boleh dilaksanakan oleh sektor perniagaan dan swasta dalam memulihara kepelbagian biologi, menurut kenyataan itu.

Selain itu forum tersebut turut membincangkan mengenai perkhidmatan ekosistem di peringkat negara dan antarabangsa, mengarus perdanakan kepelbagaian biologi dalam pelbagai sektor serta menyediakan input bagi Rangka Kerja Kepelbagaian Biologi Global Pasca-2020.

Forum itu antara lain turut membincangkan keperluan sektor perniagaan dan swasta untuk menubuhkan platform Malaysia bagi perniagaan dan kepelbagaian biologi bagi menyokong inisiatif perkongsian global bagi perniagaan dan kepelbagaian biologi (GPBB) di bawah Konvensyen ​​​​​​​Kepelbagaian Biologi.

GPBB merupakan jaringan global yang menggalakkan kerjasama dan perkongsian maklumat bagi mengarus perdana kepelbagaian biologi dalam sektor perniagaan dan swasta.

Xavier dalam kenyataan itu juga berharap input yang diperoleh daripada program itu akan dibentangkan dalam Persidangan Kepelbagaian Biologi ASEAN Ke-3 (ACB2020) yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 16 - 20 Mac 2020.

- Bernama

Lihat Komen
ADS