Akhbar lapor mak nyah Swak sambut Anwar
Terjemahan Sebuah akhbar di Sarawak hari ini menyiarkan laporan yang mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah "disambut" oleh sekumpulan mak nyah.
Terjemahan Sebuah akhbar di Sarawak hari ini menyiarkan laporan yang mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah "disambut" oleh sekumpulan mak nyah.
Akhbar The Eastern Times yang menyiarkan laporan tersebut di muka depannya turut menyiarkan foto yang menunjukkan empat orang mak nyah membawa sepanduk dengan tulisan dalam bahasa Inggeris yang bermaksud: 'Kami sayang anda, kami sokong Datuk Seri Anwar'.
Bekas timbalan perdana menteri itu sedang berkempen dalam pilihanraya negeri Sarawak. Hari pengundian akan berlangsung Sabtu ini.
Calon PKR bagi kawasan Padungan, Dominique Ng berkata, beliau terperanjat apabila terlihat laporan tersebut.
"Ini adalah perbuatan keji media. Ia adalah satu tindaikan media yang muflis idea. Ia adalah sebahagian daripada propaganda BN (Barisan Nasional)," kata ketika dihubungi hari ini.
Ng mendakwa, pihak BN terpaksa berbuat demikian kerana bimbang dengan sambutan yang diterima oleh Anwar di negeri tersebut.
"Sambutannya sangat hebat. Kaum Cina yang biasanya tidak begitu menunjukkan sokongan mereka, turut berbuat demikian. Saya tidak pernah melihat sambutan hebat seumpama itu terhadap mana-mana pemimpin sepanjang 20 tahun pengalaman saya dalam politik.
"Saya percaya pemimpin BN merasa kepanasannya dan akhirnya menyedari bahawa kehadiran Anwar memberi impak kepada rakyat negeri ini," tambahnya.
Mengalu-alukan sokongan
Naib Presiden PKR, Mohd Azmin Ali juga menyifatkan laporan tersebut sebagai satu tindakan terdesak oleh gabungan parti pemerintah.
"Mereka (pemimpin BN) kini terdesak. Mereka tidak boleh mempertikaikan isu-isu yang dibangkitkan, jadi mereka beralih menggunakan taktik kotor terhadap pemimpin kami," katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin, taktik seumpama itu tidak akan mempengaruhi para pengundi di Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Sanusi pula berkata, beliau mengesyaki kehadiran mak nyah tersebut "sengaja dirancang" untuk mencemarkan nama baik Anwar.
Calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Semariang itu berkata, beliau telah menyertai PKR sejak hari pertama ia ditubuhkan di Sabah, tetapi tidak pernah ada penyokong dari kalangan mak nyah.
Naib Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata parti ingin mengucapkan terima kasih kepada kumpulan mak nyah berkenaan sekiranya kehadiran mereka adalah ikhlas menyokong parti tersebut.
"Jika mereka benar-benar menyokong kami, ianya bagus. Tetapi bagi pihak media memanipulasikan sokongan itu sebagai menggambarkan pemimpin kami adalah jenis tersebut, maka ianya adalah satu perbuatan yang amat keji," tegasnya.
Seorang wartawan tempatan yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata beliau tidak terperanjat dengan laporan tersebut memandangkan akhbar Eastern Times memang rapat dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
'Lapor apa yang berlaku'
Sementara itu, Pengarang Urusan Eastern Times G Sivakumar mempertahankan laporan tersebut atas alasan akhbar berkenaan hanya melaporkan fakta mengenai apa yang berlaku.
"Kami melaporkan apa yang berlaku. Itu sahaja," kata Sivakumar yang mula bertugas di akhbar berkenaan dua minggu lalu.
Ketika diminta mengulas dakwaan bahawa akhbar bekenaan mengamalkan "kewartawanan murahan", beliau berkata: "Kami berhak kepada pendapat kami. Lebih dari itu, tiada apa yang hendak diulaskan."
Anwar dipecat dari kerajaan pada 1998 dan kemudiannya didakwa atas tuduhan salahguna kuasa dan liwat. Beliau menjalani hukuman penjara selama enam tahun.
Bagaimanapun, sabitannya terhadap tuduhan liwat kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan, selepas beliau membuat rayuan terhadap hukuman tersebut.
Anwar mendakwa beliau telah menjadi mangsa konspirasi politik dan tuduhan terhadapnya sengaja diada-adakan. Berita asal

