Anggota Umno perlu sentiasa 'muda' dalam perjuangan walaupun telah berusia lanjut bagi memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu dan Islam.

Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perjuangan tidak akan menjadi 'tua' selagi anggota Umno boleh menyumbang mengikut kemampuan serta kebolehan mereka.

"Perjuangan Umno jadi kuat jika dalam parti dapat mengekalkan semangat persaudaraan dan muafakat yang akan menjamin kejayaan kita," katanya ketika melancarkan perhimpunan agung pertama Majlis Veteran Umno di Bangunan Perak Darul Ridzuan malam tadi.

Perdana Menteri berkata kehadiran anggota veteran dalam Umno merupakan satu kehadiran yang bermakna dan menurutnya mereka sebenarnya mempunyai banyak lagi peranan yang boleh disumbangkan bagi membantu mengukuhkan parti.

"Sebagai ahli Umno tulen ahli-ahli veteran walaupun tidak mempunyai jawatan namun mereka terus berjuang membantu generasi sekarang ini. Tindakan veteran Umno ini amat dihargai dan akan membawa kebaikan kepada parti," katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata matlamat anggota Umno pada masa kini tetap sama dengan pengasas dulu iaitu untuk membangunkan bangsa.

"Saya dan rakan-rakan di dalam pimpinan Umno sekarang mempunyai matlamat untuk merangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk menetapkan misi bagi mencapai Wawasan 2020 supaya negara menjadi makmur, maju dan bangsa menjadi bahagia.

"Namun hakikatnya dalam dunia hari ini dan untuk kita terus maju serta untuk terus ke hadapan adalah semakin sukar," katanya.

Katanya pengasas Umno Allahyarham Datuk Onn Jaafar menghadiahkan kepada bangsa Melayu sebuah parti yang berjaya mengagalkan Malayan Union dan penjajah British manakala Almarhum Tunku Abdul Rahman pula menghadiahkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

"Saya dan rakan-rakan seperjuangan pula ingin menghadiahkan bangsa Malaysia sebuah negara yang maju yang juga akan dinikmati oleh orang-orang Melayu," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Presiden Majlis Veteran Umno Datuk Tajuddin Ali dan lebih 2,000 hadirin.