Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang bertanding dalam pilihanraya Sarawak bagaikan "hidup segan mati tak mahu".

"Di Semenanjung ia sudah bernyawa ikan, sekarang ini hendak berpindah mencari kolam baru kerana di sini suasananya lebih nyaman.

"Tapi saya yakin PKR tidak ada tempat di hati rakyat Sarawak," kata Najib yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN). Beliau berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Perpaduan di Kuching semalam.

Najib menambah, pembangkang merupakan ahli politik bermusim yang hanya muncul pada pilihanraya sedangkan BN sentiasa bersama rakyat, sama ada "susah ataupun senang".

Mengenai Tan Seri Abdul Taib Mahmud yang terus bertanding dalam pilihanraya kali ini, beliau berkata, tempoh seseorang pemimpin menerajui kerajaan bukanlah satu isu sebaliknya yang menjadi aset penting ialah keberkesanan kepimpinannya.

Timbalan Perdana Menteri berkata pengalaman seseorang pemimpin dan kebolehannya merencana pembangunan negeri yang diterajuinya amat penting, dan ini boleh dikaitkan dengan usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Beliau berkata kerajaan Sarawak, yang diperintah oleh BN yang diketuai Abdul Taib telah berjaya membangunkan negeri itu dengan hebat.

"Rugi jika tidak ada kesinambungan kepimpinan dan kalau ada peralihan pun ia mestilah secara tersusun agar semua berjalan dengan lancar," katanya.

Menurut laporan Bernama, turut hadir ialah Taib dan lima calon BN dalam pilihan raya negeri SAbtu ini terdiri Datuk Seri Abang Johari Tun Openg (Satok), Datuk Daud Abdul Rahman (Tupong), Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen (Demak Laut), Dr Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai) dan Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang).

Najib berkata Sarawak kini telah berkembang maju dan pembangunan di bandar-bandar utamanya menunjukkan perubahan drastik.

Katanya semua itu adalah hasil usaha kerajaan BN yang sentiasa dapat membuat perancangan melalui pelan induk seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) .

Najib berkata rakyat Sarawak tidak seharusnya menolak rezeki dengan limpahan dana sejumlah RM25 bilion untuk membangunkan Sarawak.