Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam hari ini menafikan sebarang penglibatan dalam laporan kontroversi mengenai Datuk Seri S. Samy Vellu dalam dua buah akhbar berbahasa Tamil selasa lalu.

Dalam kenyataan ringkasnya kepada malaysiakini, beliau mengakui kedua-dua akhbar tersebut, Makkal Osai dan Tamil Nanban memberikan liputan yang adil dan seimbang kepadanya tetapi beliau tidak memainkan peranan langsung atau tidak langsung dalam penyiaran laporan berkenaan.

" Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan dalam laporan kenyataan Presiden MIC berhubung sumbangan Dr. Mahathir kepada masyarakat India yang disiarkan oleh kedua-dua akhbar berkenaan,"tegasnya.

Samy semalam menuduh Subramaniam mendalangi penyiaran berita yang melaporkannya mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat India dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).

Presiden MIC itu mendakwa ucapannya di sebuah konvensyen MIC di Johor itu telah diputarbelitkan oleh kedua-dua akhbar berkenaan. Samy juga mendakwa kedua-dua akhbar itu pro-Subramaniam dan sering menyiarkan laporan yang memfitnah dirinya.

Samy dalam kenyataannya kepada malaysiakini semalam kemudiannya menuduh Subramaniam bertanggungjawab terhadap penyiaran laporan di kedua-dua tersebut.

Katanya, akhbar-akhbar terseburt marah padanya kerana beliau menyokong pencalonan Naib-Presiden, G. Palanivel untuk merebut jawatan nombor dua dalam MIC.

Makkal Osai dan Tamil Nanban bagaimanapun menafikan dakwaan Samy dan bertegas bahawa laporannya adalah benar serta bersedia untuk menentang Samy di mahkamah jika perlu.

Sudah menjadi pengetahuan umum hubungan Samy dengan Subramaniam tidak mesra sejak sekian lama. Ketegangan hubungan mereka semakin memuncak apabila Presiden MIC itu secara terbuka menyokong pencalonan Palanivel.

Pemilihan Timbalan Presiden MIC akan berlangsung pada 24 Jun depan.