Subra:'Ada orang mahu ambilalih jawatan saya dari pintu belakang...'
Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam mensyaki serangan berterusan 'bos' nya, Datuk Seri S Samy Vellu terhadapnya sengaja dirancang bagi menjejaskan peluangnya dalam pemilihan parti itu pada 24 Jun depan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam mensyaki serangan berterusan 'bos' nya, Datuk Seri S Samy Vellu terhadapnya sengaja dirancang bagi menjejaskan peluangnya dalam pemilihan parti itu pada 24 Jun depan.
"Seseorang mahu mengisi kerusi saya melalui 'pintu belakang'. Saya tidak tahu siapa dia sebab pencabar saya itu belum diumumkan. Tapi saya percaya ia adalah percubaan jelas untuk mengambilalih kerusi dari pintu belakang," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Walaupun Subramaniam (gambar kanan) tidak menyebut sebarang nama namun dipercayai tokoh yang dimaksudkannya ialah Naib-Presiden MIC, Datuk G Palanivel, yang dijangka akan mencabarnya dalam pemilihan parti itu nanti.
Palanivel (gambar kiri) adalah calon yang direstui oleh Samy Vellu. Presiden MIC itu sejak dua hari lalu berterusana menyerang Subramaniam dengan pelbagai tuduhan.
Serangan Samy Vellu terhadap timbalannya itu semalam dianggap oleh pemerhati politik sebagai yang paling keras sepanjang krisis mereka berdua sejak dua dekad lalu. Serangan terbuka terhadap Subramaniam itu berikutan penyiaran berita yang memburuk-burukkan Samy Vellu dalam dua buah akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai dan Malaysia Nanban yang dikatakan pro-Subramaniam.
Pada Rabu lalu Makkal Osai dan Tamil Nanban memetik Samy Vellu mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyumbang apa-apa kepada komuniti India dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).
Samy Vellu bagaimanapun menafikan laporan kedua-dua buah akhbar itu dengan menuduh ucapannya di konvensyen MIC di Johor itu telah diputarbelit.
Kedua-dua akhbar itu bagaimanapun mempertahankan laporan mereka dan sanggup berhadapan dengan Samy Vellu di mahkamah jika perlu.
Samy Vellu juga menuduh Subramaniam mendalangi laporan yang disiarkan dalam akhbar-akhbar berkenaan. Timbalan Presiden MIC itu bagaimanapun menafikannya.
Semalam Samy Vellu menuduh Subramaniam menikamnya dari belakang dan melakukan kegiatan 'subversif' untuk melemahkan MIC.
Samy Vellu juga mencabar Subramaniam bertanding jawatan Presiden yang telah dimenanginya secara tidak bertanding pada Mac lalu. Samy Vellu dan Subramaniam pernah bertanding jawatan berkenaan pada tahun 1990 dengan Menteri Kerjaraya itu memenanginya dengan majoriti kecil.
Subramaniam juga menolak dakwaan Samy Vellu yang menuduhnya mahu merebut jawatan Presiden MIC.
"Saya telahpun mengumumkan keputusan untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden sejak setahun lalu. Adalah tidak benar tanggapan yang mengatakan saya mahu mencabar Samy Vellu," ujarnya.
"Pertandingan kali ini adalah antara saya dengan Palanivel atau siapa sahaja yang mahu bertanding jawatan tersebut," katanya.

