Jumlah keluar mengundi rendah, kata Pengerusi SPR
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata jumlah pemilih yang keluar mengundi pada pilihanraya negeri Sarawak hari ini mengecewakan berbanding 68 peratus sebelumnya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata jumlah pemilih yang keluar mengundi pada pilihanraya negeri Sarawak hari ini mengecewakan berbanding 68 peratus sebelumnya.
Tanpa menyebut angka rasmi, beliau berkata kekurangan itu mungkin berpunca daripada pemilih berdaftar tidak dapat pulang untuk mengundi kerana bekerja di tempat lain.
"Saya tidak percaya cakap-cakap bahawa mereka tidak keluar kerana memprotes tetapi sebaliknya kerana sikap pengundi yang bergegas ke pusat-pusat pengundian pada saat-saat akhir setelah menyelesaian urusan atau perniagaan masing-masing," katanya di Kuching.
Berdasarkan maklum balas awal, Abdul Rashid berkata ramai pengundi yang sudah berhirah ke Semenanjung, masih dalam daftar pemilih SPR.
Sehingga jam 5 petang, semua 1,665 pusat pengundian bagi 69 kerusi yang dipertandingkan, ditutup, dengan kerusi Tutoh dan Liomatu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan di kawasan pendalaman, ditutup jam8.30 malam.
Dua kerusi, Daro dan Dalat, dimenangi Barisan Nasional (BN) tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 9 Mei.
Mengenai penutupan awal dua pusat pengundian yang terletak di sempadan Sarawak-Kalimantan, Abdul Rashid berkata petugas SPR menunggu pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka namun mereka tidak muncul.
"Ada masanya keadaan seperti ini berlaku dan petugas kita kena menunggu, namun bagi mengikut jadual yang ditetapkan, mereka perlu bergerak ke tempat lain," katanya.

