Umno Tganu: Sayap Wanita dan Puteri bertelagah?
Perkembangan kurang sihat yang sedang dilalui oleh Umno Terengganu dikatakan turut melibatkan 'persaingan' antara sayap Wanita dan Puterinya.
Perkembangan kurang sihat yang sedang dilalui oleh Umno Terengganu dikatakan turut melibatkan 'persaingan' antara sayap Wanita dan Puterinya.
Menurut sumber, kepimpinan wanita Umno dan Puteri negeri itu tidak sependapat kerana persaingan dan perebutan jawatan antara 'orang lama dan orang baru'. Ramai pemimpin wanita Umno Terengganu dikatakan kurang senang dengan kemunculan mendadak tokoh muda, Ketua Puteri Umno negeri, Nordiana Shafie sebagai Senator.
Kalangan orang lama wanita Umno berpendapat, Nordiana masih muda dan baru dalam parti dan tidak wajar dilantik sebagai Senator.
Menurut sumber, kalangan pemimpin veteran wanita Umno negeri juga menuduh Nordiana cuba mengambilalih pucuk pimpinan bahagian Kuala Terengganu.
"Beberapa pemimpin Wanita telah menyindir dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada Nordiana termasuk mendakwa beliau sebagai mengejar jawatan," kata sumber itu.
Menurut sumber itu lagi, ramai pemimpin veteran Wanita merasakan mereka lebih berhak dilantik sebagai Senator setelah begitu lama berjuang dan menjadi ahli parti.
Sementara itu, Nordiana ketika dihubungi berkata, beliau menerima perlantikan sebagai Senator kerana tidak mahu lagi menghampakan Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan Umno negeri.
"Saya tidak boleh menolak tawaran Senator kerana sebelum itu telah menolak tawaran untuk bertanding dalam pilihanraya umum lalu," katanya yang juga Pengerusi biro agama Puteri Umno Malaysia.
Nordiana berkata, beliau menolak tawaran untuk bertanding dalam pilihanraya umum lalu kerana baru berkahwin dan mahu menumpukan perhatian kepada rumah tangga.
Beliau melahirkan kekesalannya jika benar berlaku perpecahan dalam Umno negeri termasuk antara sayap Wanita dan Puterinya.
" Kalau betul dakwaan tersebut, ini menunjukkan politik cantas mencantas di kalangan pemimpin Umno masih berlaku dan ini tidak baik kepada parti untuk berdepan dengan pengaruh PAS," ujarnya.
Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana Terengganu merupakan kubu kuat PAS sebelum ini.

