Husam akan temui PM perjelas isu Dinar
Kerajaan negeri Kelantan tetap akan melaksanakan cadangan penggunaan dinar emas dan dirham perak walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak membenarkan negeri Kelantan mengeluarkan mata wang sendiri.
Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berkata, kerajaan Kelantan akan menghantar Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakatnya, Datuk Husam Musa bertemu Perdana Menteri bagi memperjelaskan cadangan negeri itu mempraktikkan penggunaan dinar emas dan dirham perak.
Nik Abdul Aziz menjelaskan, pada pertemuan itu nanti Husam akan memperjelaskan secara terperinci mengenai cadangan tersebut dan diharap Kerajaan Pusat dapat memahami maksud sebenar penggunaan dinar dan dirham itu.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah sempena Seminar Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Islam 2006 di Kota Bharu, Nik Aziz juga menyatakan, cadangan penggunaan dinar dan dirham itu bukan satu perkara baru sebaliknya pernah dibincangkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bernama melaporkan, semalam Husam berkata, kerajaan Kelantan akan menjadi negeri yang pertama memperkenalkan penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak dalam tempoh tiga bulan lagi.
Katanya pajak gadai berasaskan sistem Islam, Ar-Rahnu sebagai platform pertamanya menggunakan mata wang itu yang kemudiannya akan diperluaskan seperti membayar gaji kakitangan awamnya dengan mata wang tersebut sebagai satu simpanan tunai kepada kakitangan terbabit yang menyimpannya di bank tempatan berasaskan akaun emas.
Menurut Husam langkah itu tidak bertujuan menjadikan dinar dan dirham sebagai mata wang rasmi Kelantan dan kakitangan awam terbabit boleh memilih untuk menerima gaji dalam bentuk dinar atau pun ringgit seperti yang diamalkan sekarang.
Penggunaan dinar emas tidak akan dapat digugat oleh mana-mana mata wang termasuk dolar Amerika kerana emas adalah satu komoditi dan mempunyai harga yang sangat stabil, katanya.
Kenyataan Husam itu bagaimanapun mendapat reaksi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pertama yang tidak membenarkan Kelantan mengeluarkan mata wang sendiri menggunakan dinar itu.

