Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan akan iktiraf UEC? Mah minta lebih masa

Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon, enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada beliau akan berusaha agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mendapat pengiktirafan kerajaan.

Beliau yang dilantik sebagai timbalan menteri pendidikan oleh Muhyiddin Yassin ditemui selepas majlis angkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara di parlimen hari ini.

Usaha mendapatkan komen berkenaan UEC itu ditanyakan sebanyak tiga kali kepada Mah. Bagaimanapun bagi setiap soalan tersebut Mah mengelak untuk memberikan jawatan yang jelas.

Pemberita: Sebelum ini MCA menjelaskan bahawa mereka sudah di peringkat akhir untuk mendapatkan pengiktirafan UEC, adakah YB lihat ini adalah satu harapan setelah MCA kembali (menjadi kerajaan)?

Mah: Bagi saya, apa yang telah dijelaskan… fokus sekarang adalah tugas saya. Macam saya kata sebelum ini, saya bukan seorang yang suka bercakap banyak. Siapa yang mengenali saya tahu, saya seorang yang suka fokus dengan kerja. Jadi beri saya masa.

Pemberita: Adakah UEC akan menjadi keutamaan?

Mah: Beri sama masa, saya perlu…. nombor satu, untuk mengetahui bidang tugas dahulu dan saya akan berikan yang terbaik.

Pemberita: Adakah YB fikir anda boleh lakukan apa Teo Nie Ching (bekas timbalan menteri pendidikan PH) tidak dapat lakukan berkaitan isu UEC sebelum ini?

Mah: Jangan kita fikir isu lain. Berikan saya sedikit masa, biar saya dalami tugas dahulu dan kita akan lihat kemudian. Terima kasih banyak, saya pasti akan menjalankan tugas dengan baik untuk membantu bos saya, menteri pendidikan dalam menyampaikan misi dan visi kita.

Antara senator yang mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini

UEC adalah peperiksaan sama seperti peringkat A-level tetapi ia diambil pelajar di sekolah swasta aliran Cina dan dikendalikan oleh Dong Zong.

Meskipun sijil ini diiktiraf banyak universiti utama di seluruh dunia, buat masa ini ia belum diterima untuk kemasukan ke universiti awam Malaysia.

Kerajaan PH sebelum ini berjanji untuk mengiktiraf UEC namun ia berdepan dengan kritikan pembangkang ketika itu. Malah ia juga dijadikan hujah oleh mereka - BN dan PAS - sebagai bukti kerajaan Dr Mahathir Mohamad menjadi boneka DAP.

Untuk rekod kurang daripada 10 hari menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, perdana menteri ketika itu, Najib Razak, juga berjanji untuk memberikan pengiktirafan kepada UEC jika BN mendapat mandat menjadi kerajaan sekali lagi.

Najib membuat janji tersebut semasa berceramah di depan masyarakat Cina di Sandakan, Sabah.

Mah mengakui, tugasnya itu sangat sukar dan ia adalah satu perkara baru.

"Ini adalah kementerian yang sangat penting. Pendidikan sangat penting bagi negara kita," katanya.

Mah sebelum ini merupakan exco kerajaan Perak selama lebih satu penggal. Beliau juga merupakan seorang ahli kardiologi.

Lihat Komen
ADS