RTM bukan 'bakul sampah', kata Zainuddin.
Stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bukannya 'bakul sampah' untuk penerbitan-penerbitan yang tidak bermutu dan program yang telah ditolak oleh stesen televisyen lain, tegas Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.
Stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bukannya 'bakul sampah' untuk penerbitan-penerbitan yang tidak bermutu dan program yang telah ditolak oleh stesen televisyen lain, tegas Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.
Sehubungan itu beliau mengingatkan syarikat-syarikat penerbitan jangan terkejut dan kecewa jika program mereka 'dibakulsampahkan' oleh RTM selepas ini.
" Era menjadikan RTM bakulsampah untuk program-progarm tidak bermutu sudah berakhir," tegas Zainuddin.
Beliau juga mahu program-program TV yang disiarkan di RTM mematuhi kriteria penyiaran yang ditetapkan oleh stesen penyiaran itu terutamanya dari segi mutu program itu.
"Tiada tolak ansur dalam soal kualiti," katanya.
Menteri Penerangan itu juga menegaskan selepas ini semua proses mendapatkan slot program RTM perlu mengikut prosidur biasa yang lebih ketat dan telus.
Katanya, tiada lagi jalan pintas atau 'jalan belakang' bagi mana-mana pihak unb tuk mendapatkan slot rancangan di RTM.
Zainuddin berkata keputusan tegas itu bagi memastikan pembahagian semua slot rancangan TV di stesen milik kerajaan, lebih telus dan adil kepada semua pihak.
" Langkah itu juga untuk menjamin semua program yang ditayangkan di RTM bermutu sejajar dengan pembinaan jati diri stesen penyiaran itu.
"Saya ingatkan kepada pegawai-pegawai saya sendiri jika ada perkara tidak benar, tidak betul dalam pembahagian slot, tindakan akan diambil," tegasnya.
Artis veteran
Sementara itu Bernama melaporkan, RTM akan menyusun semula skim agihan jam kepada penggiat seni pada tahun lepas, melibatkan persatuan Seniman dan Papita, bagi membantu golongan artis terutamanya artis veteran.
Dua buah syarikat diberikan agihan jam untuk membantu 10 veteran lelaki dan 10 veteran perempuan melalui pemberian pencen syarikat itu sebanyak RM2,000 sebulan.
"Bagaimanapun, RTM kini dalam proses penyusunan semula pemberian agihan jam ini kerana didapati berlaku keadaan tidak lancar dalam beberapa perkara berhubung program itu... Tapi ini bukan bererti berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa," katanya.
Seramai 58 artis terlibat dalam majlis amal malam tadi yang bertujuan mengutip dana bagi menampung skim pencen artis veteran, seperti seniman Aziz Satar, seniwati Sarimah, Mariani, Yusni Jaafar, V. Sarangabani dan Lai Meng, yang bermula sejak 2002.
Antara artis yang membuat persembahan pada Selasa malam ialah Siti Nurhaliza, Mawi, Jalaluddin Hassan, Julie Sudiro, Liza Aziz, Musli Amir, Rozita Rohaizad dan Radhi Khalid.
Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata kutipan mencecah kira-kira RM150,000 termasuk RM10,000 yang disumbangkan oleh Astro, MK Land, Rishi Creations Sdn Bhd dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi.

