Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar cadang k'jaan bantu RM250 sebulan kepada semua rakyat
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 6:45 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan sekiranya para pekerja, terutamanya golongan miskin terpaksa menggunakan simpanan hari tuanya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampan kesan hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.

Ini susulan pengumuman kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan wang daripada Akaun 2 bagi meringankan beban rakyat.

Anwar berkata kerajaan perlu memberikan bantuan sebanyak RM250 sebulan kepada semua rakyat Malaysia.

“Saya prihatin dengan isu berikan ruang kepada pekerja keluarkan caruman dari KWSP. Ini simpanan untuk masa depan mereka, kelompok kaya tak membimbangkan tetapi dalam kelompok pendapatan rendah ini dikhuatiri jejaskan masa depan mereka.

“[…] tapi saya rasa kerajaan kena pertimbangkan semula, jangan beban hanya pada mereka, sepatutnya paling tidak kerajaan bagi sumbangan sebahagian kepada semua, kalau kata lah RM250 kalau mereka perlu tambahan keluarkan RM250 saja (dari KWSP).

“Kerajaan harus fikirkan untuk belanja dari rizab negara. Ini keadaan kritikal sekarang,” katanya dalam sidang media secara langsung di akaun Facebook hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengumumkan inisiatif pengeluaran akaun KWSP menerusi i-Lestari yang tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan.

Justeru itu, Anwar menyarankan penambahbaikan supaya pencarum boleh mengeluarkan RM250 sahaja daripada akaun KWSP, manakala kerajaan pula menambah bantuan sebanyak RM250.

Menjelaskan lanjut, katanya, bantuan RM250 itu boleh disalurkan daripada rizab negara atau pun hasil keuntungan Petronas.

“Saya pendapat ini adalah keperluan yang harus diberikan pertimbangan segera, hari ini atau esok kerana penjaja atau nelayan, kalau mereka tak kerja tiga ke empat hari mereka tiada simpanan yang panjang.

“[…] guna rizab yang besar yang ada sama ada dalam kerajaan atau Petronas untuk selamatkan rakyat sekarang,” katanya lagi.

Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Malaysia mencatatkan 212 lagi kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir hari ini, iaitu bilangan tertinggi sejak permulaan wabak itu pada akhir Januari.

Ini membawa jumlah keseluruhan kepada sebanyak 1,518 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 212 kes baru, 123 dikesan daripada kluster perhimpunan Tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang diadakan lewat bulan lalu.

Beliau juga melaporkan empat kematian baru, menjadikan jumlah kematian kepada 14 orang.

Lihat Komen
ADS