Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Boleh keluar KWSP akaun 2 untuk setahun
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 1:33 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh mengeluarkan wang simpanan dari akaun dua bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan.

"Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

"Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.

Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Katanya inisiatif itu akan membabitkan dana berjumlah RM40 billion.

Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin turut menjelaskan harga topeng muka bakal diteliti kembali supaya tidak terlalu tinggi memandangkan keadaan negara yang kini berhadapan krisis.

Jelasnya, beliau juga berharap kilang pengeluar topeng muka tempatan terus mengeluarkan produk tersebut.

“Saya dimaklumkan dengan sedikit masalah (kilang pengeluar topeng muka tempatan) iaitu untuk dapatkan bahan mentah yang mana bahagian besar perlu diimport dari luar negara.

“Saya harap usaha itu dapat diatasi dan pastikan kapasiti keluaran dalam 2-3 juta keping topeng muka setiap bulan,” katanya lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan bahawa terdapat 123 kes positif Covid-19 baru.

Kira-kira jam 11.40 pagi tadi, Covid-19 meragut korban terbarunya di Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 11 orang.

Mangsa, warga Malaysia berusia 70 tahun, dirujuk sebagai pesakit kes ke-1,070, mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Setakat petang semalam, sebanyak 1,306 kes positif Covid-19 direkodkan oleh KKM. Sebanyak 22 daripada pesakit kini ditempatkan di ICU dan diberikan alat bantuan pernafasan.

Laman sesawang Worldodometer menyatakan seramai 14,687 orang meninggal dunia di seluruh dunia akibat virus tersebut setakat ini.

Lihat Komen
ADS