BERITA

MTUC: Faedah Sistem Insurans Pekerjaan tak cukup untuk semua pencarum

Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mac 2020, 1:50 pagi

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata meskipun pencarum layak menuntut faedah caruman daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sewaktu krisis Covid-19, tetapi ia sebenarnya tidak mencukupi untuk meliputi semua pencarum yang layak.

Presidennya Abdul Halim Mansor menjelaskan, ia tidak mencukupi jika dikira bagi semua pencarum yang layak menerima tanpa diskriminasi kerana gaji rendah atau tinggi.

“Merujuk kepada tuntutan kepada Akta SIP disebabkan krisis bencana Covid-19 adalah tidak berketetapan.

“Akta SIP mempunyai caruman pekerja 0.2 peratus, ditambah 0.2 caruman majikan dan bersiling RM4,000 jumlah tertinggi untuk tuntutan.

“Jika enam juta pekerja dibayar RM600, pencarum layak tuntut akan berjumlah RM3.6 bilion.

“Caruman terkumpul SIP tidak sampai RM2 bilion. Ini hanya tuntutan bulan pertama dan SIP boleh bankrap,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, semalam.

Jumlah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang dibayar adalah bergantung pada peratusan purata bulanan iaitu pembayaran pada bulan pertama adalah sebanyak 80 peratus, 50 peratus pada bulan kedua, 40 peratus pada bulan ketiga dan keempat, manakala 30 peratus pada bulan kelima dan keenam.

EMP merupakan elaun kewangan bagi mereka yang kehilangan sumber pendapatan tunggal.

Untuk rekod, pada 18 Mac lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan, dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa di bawah SIP, seramai 6.9 juta pekerja swasta akan dilindungi sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan melalui bantuan kewangan segera serta program penempatan pekerjaan dan latihan.

Menurut kenyataan itu, Perkeso melaksanakan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang menyediakan bantuan kewangan sementara sebanyak RM600 sebulan pada kadar rata untuk tempoh maksimum enam bulan kepada mana-mana pekerja dan majikan yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Ia merupakan bantuan kewangan kepada pekerja yang diminta cuti tanpa gaji berikutan kesan ekonomi akibat Covid-19 sewaktu perintah kawalan pergerakan.

Ketepikan isu hak pekerja, fahaman politik

Abdul Halim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas pemimpin MTUC, Abdullah Sani yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan Akaun 2 dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Abdullah Sani sebaliknya mencadangkan supaya orang ramai menuntut hak mereka sebagai pekerja melalui SIP.

Bagaimanapun, Abdul Halim menyeru supaya semua pihak mengenepikan sebarang fahaman politik dalam isu wabak yang sedang melanda negara.

“Sebagai presiden MTUC, saya berharap siapa sahaja yang menyuarakan sesuatu hak perlindungan sosial pekerja mestilah jujur, ikhlas dan tidak berlandaskan politik dan pendirian parti politik," katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam maklum balasnya sekadar meminta merujuk kepada kenyataan Saravanan sebelum ini berhubung perkara itu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons daripada Saravanan mengenai kenyataan Abdul Halim tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhirnya pada 31 Mac akan dilanjutkan ke 14 April.

PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, antara lain menetapkan semua premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali perkhidmatan penting, selain semua premis perniagaan diarah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.