Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penghasut rakyat membenci Patriot itu pengecut'
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 11:30 AM
Dikemaskini: Apr 2, 2020 7:11 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) membuat laporan kepada polis berhubung penyebaran fitnah terhadap presidennya, Mohamed Arshad Raji, yang kononnya menyeru rakyat menolak bantuan kerajaan.

Pengarah Komunikasi Awam Patriot, Wong Ang Peng, berkata melalui aplikasi breakyourownnews.com, pihak tidak bertanggungjawab menyuntingnya kenyataan persatuan itu dengan kata-kata "Seru Rakyat Tolak Bantuan".

Jelasnya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang berhubung berita tidak benar yang jelas berunsur fitnah itu.

"Kenyataan fitnah terhadap Mohamed Arshad diedarkan secara meluas dalam media sosial pada 31 Mac 2020 oleh seseorang yang menggunakan nama Salmah Salam.

"Polis telah memberi jaminan kepada kami bahawa siasatan akan dijalankan. Sekiranya punca atau penyebab dapat dikenal pasti kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Kami sedar bahawa ada orang di luar sana yang cuba memutarbelitkan kenyataan media kami untuk memberikan imej buruk kepada pesiden dan organisasi Patriot," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beri teguran secara jujur

Empat hari lalu, Patriot mempersoalkan bagaimana kerajaan memperoleh sumber dana bagi mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion.

Mohamed Arshad berkata walaupun ramai memuji pakej Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu, mereka lupa untuk bertanya soalan paling penting, iaitu dari mana sumber dana terbabit diperoleh.

“Contohnya, adakah sumber dana itu melalui pinjaman asing, menaikkan cukai, atau pun menjual aset negara?

“Bagaimana dana tersebut akan disalurkan dan adakah ia (dana) itu akan melalui agensi-agensi yang berkaitan dengan politik?" kata Arshad.

Dalam pasa itu Wong berkata, kenyataan yang dikeluarkan mereka 28 Mac lalu ada jujur menunjukkan kelemahan yang ada dalam pakej ransangan ekonomi.

"Kenyataan kami jelas dan jujur, menunjukkan kelemahan-kelemahan yang wujud dalam pakej RM250 bilion yang diumumkan.

"Menulis sesuatu yang bercanggah dengan pernyataan media kami dengan tujuan memburuk imej dan menghasut orang ramai untuk membenci Patriot adalah tindakan pengecut," katanya.

Lihat Komen
ADS