Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramadan bukan macam dulu, Syawal bukan macam dulu

ULASAN l Seorang kawan lama saya agak marah terhadap menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa kerana “sibuk” bercakap mengenai bazar Ramadan “ ketika dunia dan negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19 ”.

Lantas kawan saya itu membuat posting di Facebook beberapa hari lalu menasihati menteri supaya “agak-agaklah” kerana keadaan mungkin bertambah buruk dan doktor serta petugas hospital kerajaan dan swasta sedang menyabung nyawa.

“Tapi kau (Annuar)”, kata kawan saya, “sibuk pasal tekak kau nak berbuka puasa. Banyak lagi perkara kau boleh fikir selain bazar Ramadan. Pandailah orang nak berbuka nanti. Nyawa lebih penting daripada perut tak payah nak cari polical mileage dalam keadaan darurat ni.”


Annuar: Belum ada ketetapan tentang bazar Ramadan


Ada lagi yang diperkatakan kawan saya itu tapi cukup setakat ini kerana kita faham apa yang mahu diketengahkannya. Dan terus terang saya akui ada benarnya apa yang dikatakan itu walaupun dengan nada kasar.

Soal political mileage atau keuntungan politik yang boleh diraih, tidak dinafikan. Soal bazar Ramadan memang dekat dihati ramai khususnya di kalangan orang Melayu. Lalu “say the right things boleh mendatangkan political points. Sama ada komen Annuar dibuat untuk itu wallahualam.

Namun sebagai menteri Wilayah Persekutuan wajar juga beliau mengulas soal bazar Ramadan kerana banyak tapak bazar berkenaan terletak di wilayah.

Dan ramai orang Melayu mahu tahu semasa ada bazar akan beroperasi seperti Ramadan lalu memandangkan keadaan wabak Covid-19 sekarang. Apatah lagi jika beliau “sekadar” menjawab pertanyaan yang diaju wartawan.

Apa pun tanda tanya mengenai bazar Ramadan memerlukan jawapan untuk bukan saja pelanggan tetapi juga peniaga.

Barangkali pertanyaan itulah yang cuba dijawab Annuar. Tetapi hujah beliau “samar-samar”. Malah agak pelik .

Risiko tetap tinggi

Mulanya Annuar meminta semua pihak berkuasa tempatan dibawah pentadbirannya mengkaji semula cadangan mengendalikan bazar Ramadan dan juga jualan Aidilfitri dengan mengambil kira saranan dan nasihat kementerian kesihatan.

Beberapa hari kemudian beliau berkata pengurusan bazar Ramadan perlu diubah suai tanpa membatalkannya memandangkan ia merupakan “keperluan bagi mereka yang tinggal di bandar”.

Lepas itu Annuar memberitahu pengurusan mesti dipertingkatkan bagi mengelak orang ramai bersesak sesak di gerai.

Jujur saya katakan untuk memastikan social distancing amat sukar. Bagi pengunjung dan penjual. Juga menyukarkan pihak yang ditugas memasti orang ramai menjaga jarak antara satu sama lain. Risiko tetap tinggi. Seribu satu “ancaman” boleh dibayangkan.

Seperti kita tahu, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu sudah awal awal memutuskan tiada bazar Ramadan tahun ini. Senang cerita Annuar enggan bertindak sepantas itu. Mungkin beliau ada sebab tersendiri.

Selain bazar Ramadan ramai yang mahu tahu mengenai aktiviti di masjid, sembahyang tarawih khususnya.

Dan satu lagi persoalan besar ialah bagaimana hari raya akan disambut. Bolehkah amalan balik kampung dijalankan seperti biasa? Kita tahu ini membabitkan pergerakan ribuan orang – sesuatu yang amat membimbangkan dalam keadaan wabak Covid-19.

Semua perancangan hanya boleh direalisasikan tertakluk keputusan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.

Ramadan dijangka bermula 23 April iaitu seminggu selepas tempoh PKP yang berkuat kuasa sekarang dijadual tamat. Aidilfitri pula dijangka 23 Mei.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengaku ramai yang tertanya tanya adakah PKP kedua ini akan dilanjutkan atau adakah pada Ramadan ini PKP akan diteruskan? Dan bolehkah Hari Raya disambut?

Kemungkinan PKP dilanjutkan tidak boleh dinafikan jika keadaan tidak berubah dan jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini tidak turun. Lantas rakyat perlu bantu usaha meratakan lengkungan atau flatten the curve wabak koronavirus.

“Yang boleh memastikan tiada PKP ketiga atau keempat dan membolehkan kita berhari raya seperti biasa ialah tuan tuan dan puan puan,” kata Ismail.

Maksudnya kita semua. Rakyat.

Wabak Covid-19 dan krisis ekonomi akan mengambil jangka waktu yang lama untuk diatasi.

Sama ada PKP diteruskan, ditarik balik atau dikendurkan, Ramadan kali ini bukan seperti Ramadan Ramadan masa lalu. Begitu juga Aidilfitri. Ia tidak mungkin semeriah dulu. Sesuatu yang menyedihkan. Tetapi itulah hakikatnya.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS