Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persoalan sama ada bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan akan dibenarkan beroperasi atau tidak memandangkan penularan pandemik Covid-19 akan dilakukan sedikit masa lagi, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

"Saya tidak mahu oleh kerana Singapura atau pihak-pihak lain mengumumkan tiada bazar (Ramadan) pada tahun ini maka kita pun cakap tidak ada," katanya yang dipetik Bernama.

Beliau sebelum itu melakukan tinjauan kerja-kerja disinfeksi atau nyahcemar di bangunan kedai Presint 15, di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pengurusan bazar Ramadan perlu diubah suai tanpa membatalkannya memandangkan ia merupakan keperluan terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar.

"Kita kena fikirkan keperluan masyarakat bandar yang tidak sempat memasak selepas habis bekerja," katanya.

Beliau berkata, yang pasti, prosedur pengurusan bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan mulai tahun ini akan dipertingkat bagi mengelak orang ramai bersesak di gerai-gerai jualan.

"Saya mahu perkara ini dibuat penelitian, kerana bazar Ramadan yang lazimnya besar dan luas yang dibuat sebelum ini besar kemungkinan kita tidak boleh lakukan lagi," katanya.

Sebagai contoh, Annuar berkata kemungkinan bazar Ramadan pada tahun ini,  di tempat yang mempunyai hingga 50 gerai, mungkin hanya ada 10 gerai sahaja dan akan dijarakkan antara satu sama lain serta dibuka di banyak tempat.

"Yang pastinya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini diteruskan atau tidak kita tidak akan meneruskan cara lama yang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

"Kita kena perbaiki kehidupan, kita jangan hanya disiplinkan diri sewaktu PKP, banyak perkara yang kita boleh belajar dan amalkan terus pada pasca PKP nanti," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan membuat penelitian lanjut bersama pihak yang berkaitan sebelum pengumuman rasmi mengenai perkara itu dilakukan.

Kerajaan menguatkuasakan PKP mulai 18 Mac sehingga 14 April bagi mengekang penularan Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS