Najib: Jangan amal diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja
Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan syarikat swasta bukan milik Bumiputera jangan mengamalkan diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja.
Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan syarikat swasta bukan milik Bumiputera jangan mengamalkan diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja.
Beliau menegaskan, majikan berkenaan perlu bersikap terbuka dengan tidak meletakkan syarat-syarat tertentu yang menghalang bumiputera dari menyertai organisasi mereka.
"Bila saya semak iklan dalam akhbar ada syarikat swasta yang meletakkan syarat mesti boleh berbahasa Mandarin, ini secara tidak langsung telah menimbulkan 'bias'," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Negara.
Timbalan Perdana Menteri mahu syarikat swasta yang meletakkan syarat penguasaan bahasa Mandarin sebagai kriteria pengambilan pekerja baru menghentikan amalan berkenaan.
Beliau berkata, memang majikan berhak ke atas pengambilan pekerja tetapi mereka perlulah bersifat lebih terbuka dan tidak meletakkan syarat-syarat tertentu.
Najib juga menasihatkan syarikat swasta bukan milik Bumiputera agar lebih terbuka menerima pekerja lulusan Institusi Pengajian Tinggi tempatan.
"Bumiputera juga boleh memberikan taat setia apabila mereka bekerja," katanya.
Terdahulu, beliau berkata, bilangan siswazah telah meningkat daripada 45,000 orang pada 2000 kepada 85,000 orang pada tahun 2005.
Mengikut Kajian Pengesanan Graduan bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pada tahun 2005 terdapat 32 peratus graduan yang belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian.
"Lazimnya peratusan ini akan berkurang memandangkan kebanyakan mereka akan mula mendapat pekerjaan selepas tempoh itu," katanya.
Menurut laporan Bernama, bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan siswazah ini, Najib berkata, IPT akan merangka program akademik dan membangunkan kurikulum berdasarkan keperluan pasaran bagi memastikan mereka berupaya mendapat pekerjaan.
Menerusi program itu pelajar akan diberi pendedahan awal kepada persekitaran kerja melalui program sangkutan bagi tempoh minimum empat bulan dengan sokongan aktif daripada pihak industri dan persatuan majikan.
Bagi menjayakan program itu, Najib menyeru pihak swasta supaya lebih bersifat terbuka untuk menerima dan melatih siswazah tanpa perlu mengambil kira latar belakang mereka.
"Kerajaan juga akan meningkatkan usaha membudayakan keusahawanan bermula di peringkat universiti lagi.
"Dengan pendedahan seperti ini, diharapkan siswazah akan lebih berminat untuk menjadi usahawan setelah menematkan pengajian mereka," katanya.

